Makmal komputer kampus kejuruteraan USM terbakar
NIBONG TEBAL - Sebuah bilik makmal komputer di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) di sini terbakar dan hampir musnah dalam kejadian kebakaran pada Ahad.
Namun tiada mangsa yang cedera dalam kebakaran itu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.10 pagi sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal terus ke lokasi kebakaran.
Sebaik tiba di tempat kejadian, pihak bomba mendapati kebakaran itu melibatkan sebuah bilik makmal komputer dengan anggaran keluasan bangunan kira-kira 83 meter persegi dan api sedang marak.
"Pihak bomba menjalankan kerja pemadaman dan kemusnahan makmal komputer akibat kebakaran itu lebih 60 peratus.
Kebakaran berjaya dikawal kira-kira pukul 10.41 pagi dari merebak ke bangunan lain di situ," katanya di sini pada Ahad.
Menurutnya punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!