Kebersihan tandas awam di pusat beli-belah Melaka belum memuaskan
MELAKA - Kebersihan tandas awam khususnya di pusat beli-belah di Melaka masih belum mencapai tahap memuaskan dan ada antara tandas berkenaan hanya mendapat penarafan satu bintang.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, kebersihan tandas di kawasan tumpuan ramai adalah penting kerana ia bukan sahaja mencerminkan imej premis berkenaan, tetapi juga Melaka sebagai negeri pelancongan.
"Di Melaka, kita ada juga tandas awam di pusat beli-belah yang mendapat penarafan empat bintang, namun tiada lagi tandas di dalam premis berkenaan yang mendapat penarafan lima bintang.
"Kebersihan tandas merupakan elemen penting bagi memastikan keselesaan kepada pengunjung dan juga pelancong terutama pada Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024) ini," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Isi Minyak Percuma di sebuah stesen minyak di Krubong di sini pada Ahad.
Rais berkata, bagi meningkatkan kesedaran semua pihak terutama pemilik premis agar menitikberatkan aspek kebersihan tandas terutama sepanjang TMM 2024, kerajaan negeri akan menganjurkan pertandingan tandas terbersih dalam masa terdekat.
Beliau berkata, pertandingan itu akan melibatkan pelbagai kategori premis antaranya pusat beli-belah, restoran, hotel, stesen minyak, surau dan masjid.
"Kita akan melakukan lebih banyak lawatan mengejut di semua premis yang menyediakan tandas awam untuk melihat tahap kebersihan di situ dan usaha yang dilakukan ini bukan untuk menghukum, menyusahkan atau mendenda mana-mana pihak, sebaliknya ingin memastikan tandas berkenaan dalam keadaan bersih dan elok.
Terdahulu, Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata, Program Isi Minyak Percuma itu diadakan di dua stesen minyak di dalam DUN berkenaan secara serentak iaitu di Krubong dan Tanjung Minyak melibatkan peruntukan berjumlah RM10,000.
Beliau berkata, program itu dianjurkan sebagai medium perkongsian rezeki bersama rakyat terutama penunggang motosikal selain bertujuan bertemu rakyat bagi mengeratkan hubungan antara pemimpin dengan penduduk setempat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!