Akta penggal Tetap Parlimen perlu diwujudkan - Bersih
SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengulangi pandangannya bahawa Akta Penggal Tetap Parlimen-Fixed Term Parliament Act (FTPA) adalah diperlukan bagi memastikan penggal Parlimen kekal hingga habis tempoh iaitu 18 Disember 2027.
Jawatankuasa Pemandu Bersih berkata, Bersih sebelum ini sudah beberapa kali membuat gesaan yang sama bagi menstabilkan politik negara.
Bagaimanapun menurut gabungan itu, penggubalan akta tersebut perlu disusuli dengan penggubalan Akta Peruntukan Pembangunan Kawasan – Constituency Development Fund Act (CDF) yang saksama kepada ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
“Ini bagi memastikan hak dan keadilan untuk semua ahli Parlimen dijamin oleh undang-undang.
“Bersih berpandangan Akta Penggal Tetap Parlimen ini penting bagi memastikan kestabilan politik negara yang akan membantu melancarkan usaha reformasi demi kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Jelas kenyataan itu, akta berkenaan tidak akan menafikan kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk memberi perkenan pembubaran Parlimen sekiranya diminta oleh Perdana Menteri seperti yang dinyatakan dalam Perkara 40 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan.
“Menerusi akta tersebut, sebarang tatacara membabitkan usul undi tidak percaya terhadap kerajaan atau Perdana Menteri di dalam Parlimen berasaskan Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan harus dinyatakan dengan jelas agar sebarang langkah belakang yang bercanggah dengan prinsip demokrasi berparlimen tidak lagi berlaku.
“Sebagai tambahan kepada akta ini, pengenalan kepada mekanisme kepercayaan di Dewan Rakyat dengan dua prosedur iaitu Undi Tidak Percaya Berkonstruktif yang hanya membenarkan penyandang perdana menteri ditukar sekiranya ada calon perdana menteri untuk digantikan dan calon itu disahkan pula dengan mekanisme Undi Pengesahan Kepercayaan,” kata kenyataan itu,
Tambah kenyataan itu lagi, bagi menjayakan saranan ini, Bersih menyarankan agar kesemua blok politik untuk bergerak ke hadapan bekerja untuk menambah baik gerak kerja yang memberi manfaat kepada rakyat dan hentikan permainan politik yang merugikan masa depan negara.
“Justeru, tiba masanya pihak kerajaan dan pembangkang untuk duduk semeja dan bersepakat menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MOU) Reformasi Politik demi kepentingan rakyat.
“MOU ini pernah dibuat pada era Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi perdana menteri atas gesaan Bersih yang membolehkan wujudnya Undang-Undang Antilompat Parti.
“Malah Bersih berpandangan usaha ini adalah mustahak demi kemajuan negara dan penambahbaikan sistem politik sedia ada yang pasti akan memberi manfaat kepada semua pihak,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!