Utamakan bantu rakyat, usah berpolitik sepanjang masa
KLUANG - Tumpuan membantu rakyat perlu dijadikan fokus ahli politik tanpa mengira parti dan bukannya berpolitik sepanjang masa.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, ketepikan dahulu usaha untuk menukar kerajaan kerana tindakan yang lebih baik kini adalah bersama kerajaan tidak kiralah parti dalam kerajaan atau pembangkang.
Jelasnya, keutamaan kini adalah untuk bersama rakyat dan bukannya membuat rakyat jemu dengan politik di negara ini.
“Kita menjunjung segala apa yang ada dalam Perlembagaan Malaysia, menjunjung proses demokrasi namun hari ini jika rakyat ditimpa bencana dan sebagainya ketepikan dahulu (berpolitik) dan kena bantu rakyat.
“Bila ada ura-ura nak bercakap soal tukar kerajaan, rakyat sudah jemu sebenarnya dan jangan sampai rakyat jemu dengan politik, jadi nasihat saya kepada semua termasuk golongan muda jangan ambil kisah dengan politik waktu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Misi Bantuan Banjir Pemuda UMNO Malaysia di Negeri Johor, di sini pada Ahad.
Turut hadir Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros.
Muhamad Akmal berkata demikian ketika mengulas cadangan Rang Undang-Undang (RUU) kekalkan kerajaan tadbir negara hingga akhir penggal yang dikemukakan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu.
Jelasnya lagi, Pemuda UMNO kini hanya menumpukan perhatian untuk memperjuangkan nasib rakyat yang telah terkesan dengan bencana banjir dan masalah rakyat yang lain.
“Politik hanya ketika nak pilihan raya tetapi untuk masa kini perlu menumpukan bagaimana kita nak membantu rakyat baik mana sekalipun parti politik.
“Bagi saya perlembagaan yang ada perlu dijunjung dengan lebih tinggi, proses demokrasi perlu diangkat tapi pada masa yang sama semuanya perlu tertakluk kepada kepentingan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Muhamad Akmal berkata, Pemuda UMNO Malaysia bersama Pemuda UMNO Johor berganding bahu melaksanakan Misi Bantuan Banjir Pemuda UMNO Malaysia di Johor yang terkesan banjir sebelum ini.
Ujarnya, selain membantu rumah-rumah terpilih untuk dibersihkan turut dibawa adalah barang-asas termasuk katil, tilam dan bantal untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.
"Hasil inisiatif Pemuda UMNO Kluang, mak cik Bainah ini akan diusahakan satu kediaman baharu yang lebih selamat kerana rumah diduduki warga emas itu sudah tidak selamat didiami," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!