Cadangan RUU penetapan penggal Parlimen bukan langkah terdesak - Mahdzir
ALOR SETAR - Cadangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menubuhkan rang undang-undang (RUU) penetapan penggal Parlimen bukan langkah terdesak.
Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, rakyat serta pelabur ketika ini mahukan negara yang aman dan damai berbanding berhadapan dengan krisis politik sepanjang masa.
Menurutnya, sebarang pertukaran kerajaan wajar ditentukan rakyat pada pilihan raya umum (PRU) seterusnya.
“Apa nak terdesaknya, tak terdesak apa pun sebab sokongan kepada kerajaan sudah lebih daripada memadai termasuk lima orang ahli Parlimen Bersatu yang sokong Perdana Menteri secara terbuka.
“Kerajaan dalam keadaan stabil, cuma bila tak habis-habis ada cerita berkaitan tukar kerajaan setiap hari saya ingat itu sebagai yang tidak harmoni dalam sebuah negara yang begini keadaannya,” katanya ketika sidang media di Bangunan Tunku di sini pada Ahad.
Menurut Mahdzir, cadangan Presiden UMNO itu merupakan satu perkara yang positif pada waktu ini.
“Seeloknya biarlah sampai habis penggal, nak jadi apa pun masa pilihan raya, nak buat pertukaran atau apa nak jadi masa pilihan raya nanti saya rasa itu satu yang boleh diterima.
"Tak apa kalau jadi pembangkang, jadi lah sampai PRU. Kalau masa itu rakyat pilih awak (jadi kerajaan pula), terimalah keputusannya,” katanya.
Mengulas lanjut dakwaan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa rakyat mahukan pentadbiran Kerajaan Perpaduan ditukar, Mahdzir berkata, sekiranya perkara itu benar ia sudah berlaku pada PRU15 yang lalu.
“Kalau tukar, tukar sekali hari itu tapi Kedah saja (PN) menang banyak, negeri lain tak menang lagi. Saya ingat Menteri Besar tak berapa faham itu, rakyat Kedah saya akui pada waktu itu pilih mereka.
“Kami dapat sikit undi tak cukup untuk menang tetapi untuk keseluruhan negara ada 222 kerusi di Semenanjung, Sabah dan Sarawak namun semasa PRU15 tak cukup untuk mereka jadi kerajaan," katanya.
Sebelum ini, Ahmad Zahid menyarankan agar pembentukan sesebuah kerajaan kekal sehingga akhir penggal demi menjamin kestabilan negara agar kerajaan tidak diganggu oleh percaturan ahli-ahli politik demi kepentingan dan agenda masing-masing.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, cadangan Ahmad Zahid jelas membelakangkan Perlembagaan dan demokrasi selain sebagai kenyataan terdesak untuk terus kekal berkuasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!