Beregu lelaki China raih juara Terbuka Malaysia 2024
BEREGU lelaki China, Liang Wei Keng-Wang Chang membuktikan mereka adalah pasangan terbaik dunia apabila meraih gelaran Terbuka Malaysia 2024 selepas mengecewakan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India hari ini.
Pada perlawanan akhir penuh dramatik di Axiata Arena itu, pilihan utama kejohanan yang tewas set pertama 9-21, bangkit bergaya untuk menang set kedua 21-18 sekali gus mengheret kepada perlawanan penentuan.
Wei Keng-Wang Chang mempamerkan kekuatan mental yang tinggi apabila menyamakan kedudukan selepas ketinggalan 5-10 sebelum melengkapkan kemenangan 21-17 untuk muncul juara kejohanan Super 1000.
Bercakap mengenai permainan hari ini, Wang Chang berkata, ia merupakan perlawanan ulangan Seluruh England 2023, menyaksikan mereka yang ketinggalan 10-21, bangkit meraih kemenangan 21-17, 21-19 pada pusingan kedua di Birmingham.
"Kami mengkaji bagaimana lawan kami bangkit selepas ketinggalan dalam perlawanan semalam menentang wakil Korea Selatan. Jika mereka (Satwiksairaj-Shetty) boleh lakukannya, kami pun boleh,” katanya kepada pemberita di sini.
Kejayaan gandingan itu menjadi kejuaraan kedua dicapai China selepas beregu wanita Liu Sheng Shu-Tan Ning muncul juara, menundukkan pilihan kelima yang juga rakan senegara Zhang Shu Xian-Zheng Yu 21-18, 21-18.
Pemenang acara beregu Terbuka Malaysia 2024 membawa pulang wang tunai AS$96,200 dan piala manakala naib juara AS$45,500 berserta piala. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!