300 peserta terbangkan layang-layang untuk Gaza tanda solidariti
SHAH ALAM - Kira-kira 300 peserta hadir menzahirkan solidariti kepada rakyat Palestin sempena program ‘Menerbangkan Layang-Layang untuk Gaza’, dalam usaha berterusan bagi mengecam penindasan rejim Zionis di bumi Al-Quds.
Jurucakap Yayasan Farrash, Shahnas Oli Mohamed berkata, program yang diadakan hari ini juga sempena Hari Layang-Layang Dunia yang disambut setiap 14 Januari.
Shahnas berkata, ia juga antara usaha badan bukan kerajaan (NGO) itu untuk menunjukkan sokongan terhadap rakyat Palestin seiring dengan program antarabangsa ‘Kites in Solidarity’.
"Program hari ini sebagai mengikuti satu program antrabangsa yang dikenali sebagai Kites in Solidarity. Cerita di sebalik Kites in Solidarity ini adalah di Semenanjung Gaza, ia mempunyai pantai yang panjang dan kanak-kanak Gaza terkenal dengan bermain layang-layang di tepi pantai.
"Pada Julai 2011, anak-anak Gaza ini mencipta rekod dunia dengan menerbangkan 12,350 layang-layang serentak sekali gus memecahkan rekod yang dipegang oleh China pada masa itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di program tersebut di Bukit Jelutong di sini pada Ahad.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri.
Shahnas berkata, program ini juga diharapkan dapat memberi kesedaran kepada anak-anak yang hadir menyertai permainan layang-layang tentang apa yang sedang berlaku di Palestin.
"Di samping memperingatinya (situasi di Palestin terutama di Gaza), ia juga mengajar anak-anak kita menjadi manusia yang berprinsip, untuk tahu apa yang sedang berlaku di dunia dan berpegang kepada prinsipnya.
"Insya-Allah kita akan anjurkan lagi program ini dalam (pelbagai bentuk untuk terus memberi kesedaran)...kita mahukan rakyat untuk tidak berhenti bercakap mengenai Palestin,” katanya.
Shahnas berkata, program yang digerakkan oleh pihaknya itu turut mendapat sokongan usahawan wanita di Bukit Jelutong iaitu Dr Sheeda Abdul Karim dan Rohiza Mohd Ali. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!