Empat ahli geng jebat diberkas
SUNGAI BULOH - Polis menumpaskan kumpulan penjenayah geng jebat yang aktif menyamun kedai serbaneka di sekitar daerah Kuala Selangor dan Sungai Buloh.
Empat suspek lelaki berusia 19 hingga 24 tahun itu dipercayai terbabit dalam 15 kes samun berkumpulan dan bersenjatakan parang dan kapak, sejak awal tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, pihaknya telah melancarkan operasi khas 'rentap jebat' pada 21 Disember lalu.
"Kita telah membuat tiga serbuan di Sekinchan, Bukit Gadong dan Jeram, hasilnya kita berjaya memberkas kesemua suspek," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh tadi.
Shafa'aton berkata, modus operandi penjenayah dengan mensasarkan kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam.
"Hasil barang yang disamun itu adalah untuk kegunaan sendiri. Kes terbaharu kumpulan penjenayah ini telah menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam di Puncak Alam pada 21 Disember lalu.
"Penjenayah mengambil wang RM100, telefon bimbit jenis IPhone dan rokok pelbagai jenama," katanya.
Beliau berkata, polis turut merampas pelbagai peralatan termasuk parang, pakaian, serta rokok yang dipercayai hasil kegiatan jenayah kumpulan terbabit.
“Dua suspek mempunyai rekod lampau jenayah berkaitan dadah, kesemua mereka masih direman bagi membantu siasatan," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!