Si genius 'oppa' Kim Pan-gon
KETIKA nama Kim Pan-gon disebut sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, banyak pihak terutama peminat skeptikal dengan pemilihan dibuat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Ini kerana, pengendali dari Korea Selatan itu dilihat masih 'hijau' lantaran tidak mempunyai banyak pengalaman mengendalikan pasukan kebangsaan selain Hong Kong (November 2012-Disember 2017).
Malah, pemilihan Pan-gon pada awalnya dijadikan bahan jenaka oleh peminat tempatan kerana wajahnya dikatakan persis pelakon Heo Sung-tae yang membawakan watak Jang Deok-su dalam drama bersiri popular di seluruh dunia, Squid Game.
Bagi pengkritik bola sepak pula, pemilihan Pan-gon dianggap kurang bersesuaian kerana kalibernya sebagai jurulatih masih belum terbukti.
Pan-gon adalah bekas pemain yang beraksi di posisi sayap, namun beliau tidak pernah menembusi skuad kebangsaan Korea Selatan untuk mana-mana peringkat umur.
Bersama Hong Kong pula, Pan-gon sekadar merekodkan 16 kemenangan daripada 43 perlawanan.
Persepsi berubah
Hanya dalam tempoh kurang dua tahun, Pan-gon berjaya meletakkan Malaysia di tangga ke-130 dalam senarai ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Tahun lalu, Malaysia mengumpul 1,122.87 mata untuk berada di kedudukan tersebut, iaitu peningkatan terbesar dalam kalangan negara Asia.
Lebih membanggakan, kenaikan itu menyaksikan Malaysia muncul pasukan ketiga terbaik paling banyak meraih mata dalam ranking FIFA.
Kali terakhir Malaysia tersenarai dalam kelompok 130-139 dunia adalah pada Ogos 2010.
Maka, tidak hairanlah transformasi skuad kebangsaan turut diakui kuasa bola sepak Asia Tenggara, Thailand yang menyifatkan Pan-gon berjaya merubah imej Malaysia.
Bekas jurulatih skuad Gajah Perang, Kiatisuk Senamuang mengakui Pan-gon mula menyerlahkan hala tuju Harimau Malaya.
Malah, Kiatisuk menyedari corak serangan Malaysia berlainan di bawah kendalian Pan-gon yang lebih menekankan permainan tekanan dan intensiti tinggi seperti dimainkan pasukan kebangsaan Korea Selatan.
Bukan nasib tapi kerja keras
Hanya kira-kira lima bulan selepas dilantik sebagai pengendali pasukan kebangsaan (21 Januari 2022), Pan-gon sudah meletakkan namanya sebagai jurulatih Harimau Malaya paling cemerlang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Ia berdasarkan peningkatan mendadak prestasi dan corak permainan skuad kebangsaan di bawah kendaliannya.
Pencapaian terbaik dikecapi jurulatih berusia 54 tahun itu adalah menamatkan penantian 42 tahun Malaysia layak secara merit ke pusingan akhir Piala Asia di Qatar.
Berdasarkan statistik transfermarkt.com, Pan-gon merekodkan 72.72 peratus kemenangan atau 19 kemenangan daripada 28 aksi antarabangsa sejak membimbing Harimau Malaya awal tahun lalu.
Peratusan ini jauh mengatasi rekod kemenangan sebanyak 50 peratus yang dipegang jurulatih skuad negara sebelumnya, Tan Cheng Hoe.
Kemenangan paling dramatik direkodkan ketika Harimau Malaya bangkit dari ketinggalan 1-3 untuk mengatasi pasukan ranking ke-97 dunia, Kyrgyzstan 4-3 dalam aksi pertama Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 16 November lalu.
Kebangkitan itu boleh dianggap luar biasa kerana sudah lama rakyat Malaysia tidak merasai nikmat kemenangan manis dan mendebarkan seperti itu dengan ia menambahkan lagi keyakinan terhadap kepimpinan Pan-gon.
Terus tagih magis Pan-gon di Qatar
Tugas besar menanti Pan-gon adalah pusingan akhir Piala Asia 2023 di Qatar dengan Harimau Malaya diundi bersama gergasi Asia, Korea Selatan, Bahrain dan Jordan dalam Kumpulan E.
Untuk kempen kali ini, Malaysia beraksi di perlawanan pertama menentang Jordan awal pagi nanti (1.30 pagi waktu Malaysia).
Segala tumpuan kini tertumpu ke arah taktikal genius Pan-gon, sama ada sentuhan beliau mampu membawa Harimau Malaya melakar kejutan atau sekadar pulang awal.
Dengan prestasi cemerlang di bawah Pan-gon, tidak mustahil skuad Harimau Malaya mampu memberi tentangan sengit di Piala Asia walaupun di atas kertas Malaysia muncul pasukan paling lemah.
Apa pun, dengan peratus kemenangan yang luar biasa, peminat bola sepak di seluruh negara mengimpikan Harimau Malaya mara lebih jauh berbanding empat edisi sebelum ini.
___________________________
INFO:
- Malaysia menghuni ranking ke-154 dunia ketika Pan-gon mula mengambil alih pasukan pada Januari 2022 dan Harimau Malaya ketika ini berada di kedudukan 130 dunia.
- Menggantikan Tan Cheng Hoe yang melepaskan jawatannya pada 2 Januari 2022 susulan prestasi hambar Malaysia yang gagal mara ke separuh akhir Piala AFF 2020 di Singapura.
- Pan-gon hanya memerlukan lima bulan untuk menamatkan 'sumpahan' 43 tahun untuk layak ke Piala Asia secara merit selepas kali terakhir di pentas tertinggi benua Asia pada 1980 yang berlangsung di Kuwait.
- Kejayaan mengubah nasib skuad Harimau Malaya hanya dalam 'sekelip mata' menyaksikan khidmat Pan-gon dikekalkan hingga 2025.
- Keputusan menyambung kontrak Pan-gon adalah langkah tepat ketika Harimau Malaya bercita-cita untuk muncul 18 pasukan terbaik Asia yang layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!