Baju sekolah, baju sukan dan baju raya
BULAN Mac nanti akan bermulalah sesi baru persekolahan 2024/2025. Antara perkara yang menjadi perbincangan para ibu bapa ketika ini adalah berkenaan pemakaian ke sekolah.
Adakah seperti sekarang iaitu baju sukan atau baju-T putih bersama seluar trek hitam atau biru.
Hanya sesekali diminta memakai pakaian seragam sekolah. Atau adakah akan kembali sepenuhnya kepada berpakaian seragam sekolah yang lengkap seperti sebelum ini.
Untuk rekod, pada 3 Mei 2023, KPM membenarkan murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana di semua institusi pendidikannya memakai pakaian sukan ekoran cuaca panas dan kebenaran khas itu bertujuan mengelakkan komplikasi kesihatan.
Justeru, menyedari kebimbangan ibu bapa tersebut, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyatakan bahawa KPM dalam proses mengumpul pandangan pelbagai pihak berkenaan garis panduan pemakaian murid ke sekolah untuk sesi akan datang.
Satu tindakan segera yang terbaik bagi meredakan kegusaran ibu bapa.
Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, pihaknya mengambil pendekatan terbuka mengenai perkara tersebut.
Jelasnya, KPM masih lagi mendengar pandangan, input dan sumbang saran semua pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dan pemegang taruh.
Setakat ini KPM belum buat sebarang keputusan.
"Teruskan dengan pemakaian yang ada buat masa ini, yang penting pergi ke sekolah dengan berpakaian,” kata Fadhlina.
Menurut tinjauan yang dibuat di laman portal pendidikan sinarbestari.sinarharian.com.my, kebanyakan ibu bapa berharap agar pemakaian ke sekolah masih lagi diberi kelonggaran seperti sekarang iaitu mengikut keperluan.
Hari ketika perhimpunan (Ahad/Isnin) berpakaian lengkap sementara hari-hari lain berpakaian baju sukan. Itu antara jawapan majoriti.
Hal ini kerana walaupun cuaca sudah boleh dikatakan tidak lagi sepanas seperti bulan Mei lalu namun fleksibiliti yang diberikan banyak memberi kesan yang baik kepada pelajar terutama bagi kalangan keluarga kurang mampu.
Memakai kasut hitam, seluar trek bersama baju sukan adalah jauh lebih murah dan mudah dibasuh berbanding baju seragam sekolah lengkap yang sekurang-kurangnya memerlukan dua set untuk selesa.
Selain daripada itu, bulan Ramadan yang disambut sehari selepas pembukaan sekolah dan juga ketibaan bulan Syawal pada April nanti antara faktor yang boleh diambil kira dalam tinjauan KPM.
Anak-anak kita juga mahukan baju raya sekurang-kurangnya sehelai dua.
Tidak dinafikan pada awal tahun ini banyak wang yang perlu dibelanjakan untuk perkara-perkara asas yang lain seperti bayaran cukai dan sebagainya.
Oleh itu, keprihatinan KPM amat ditagih pada ketika ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!