Real juara Piala Super Sepanyol
PEMAIN sensasi, Vinicius Jr menjadi pencetus kepada kemenangan Real Madrid untuk muncul juara Piala Super Sepanyol setelah membenam Barcelona 4-1 di Riyadh, Arab Saudi awal pagi Isnin.
Real yang dibimbing Carlo Ancelotti mendominasi perlawanan dan Vinicius menjadi duri dalam daging buat Barca apabila meledak hatrik pada babak pertama perlawanan.
Malah Barca yang merupakan juara musim lalu terpaksa beraksi 10 pemain selepas Ronald Araujo dilayangkan kad merah pada minit ke-71 akibat dua kali mengasari pemain licik Brazil itu.
"Saya tak jangka kami akan meraih tiga gol dengan begitu cepat, tetapi kami mengambil kesempatan ke atas sistem pertahanan mereka menerusi inspirasi Vinicius malam ini (Isnin)," Ancelotti.
Jurulatih berusia 64 tahun itu tetap melihat perlawanan tersebut sebagai sukar, biarpun Real berpeluang melakar jumlah jaringan yang lebih besar.
"Ia adalah perlawanan yang sukar, keputusan itu agak melampau berbanding cara Barcelona bermain.
"Ketika kedudukan 3-1, perlawanan masih seimbang dan hanya apabila kami mendahului 4-1, barulah lawan agak mengendur. Kami cukup gembira," katanya.
Kehebatan Real bermula dari awal permainan menerusi trio Jude Bellingham, Rodrygo da Vinicius yang mencipta deretan kesukaran buat benteng Barca.
Real hanya memerlukan tujuh minit untuk berada di depan menerusi umpanan menarik Bellingham yang disudahkan dengan baik oleh Vinicius.
Gol kedua Real hadir menerusi satu lagi hantaran jauh dan kali ini menerusi Dani Carvajal apabila bola singgah di kaki Rodrygo.
Dia kemudian masuk ke dalam kotak penalti sebelum mengumpan kepada Vinicius yang menjarakkan kedudukan pada minit ke-10.
Robert Lewandowski merapatkan jurang buat Barca pada minit ke-33, namun Vinicius Jr ditarik oleh Araujo dalam kotak penalti dan Vinicius menyempurnakan sepakan penalti untuk menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-39.
Rodrygo mengesahkan kemenangan Real apabila meledak gol keempat pada minit ke-64.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!