[VIDEO] 'Jangan wujudkan team A dan team B' - Bung Moktar
KOTA KINABALU - Ketua UMNO Sabah Datuk Bung Moktar Radin mengingatkan ahli UMNO supaya tidak mewujudkan 'team A dan team B' dalam kalangan pasukan kepimpinannya di negeri ini.
Tegasnya, budaya kerja berpasukan harus diterapkan dalam kepimpinan UMNO Bahagian di negeri ini untuk beroleh kemenangan pada pilihan raya akan datang.
"Kita mesti terapkan budaya kerja berpasukan... kepimpinan UMNO bahagian empat peringkat perlu bersatu berjalan seiring dan elaklah pergeseran.
"Jangan wujudkan team A dan team B kerana jika ini masih berlaku kekuatan tidak akan dicapai, jika kita mahu menang buatlah kerja mahu menang," katanya ketika berucap sempena Majlis Amanat Ketua UMNO Sabah 2024 Bersama Pimpinan Bahagian UMNO Seluruh Bahagian Sabah di sini pada Ahad.
Hadir sama Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Arifin; Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir; Ketua Wanita UMNO Sabah, Senator Datuk Noraini Idiris dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Beliau berkata, pemimpin UMNO perlu meneliti semula apa yang perlu dilakukan untuk membendung trend penolakan pengundi sama ada di kawasan bandar atau luar bandar.Menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu lagi, semua pemimpin parti juga harus mencari kaedah untuk mengubah trend penolakan pengundi terhadap UMNO.
"Dimensi baharu mendekati rakyat di peringkat akar umbi juga perlu dilakukan oleh UMNO Bahagian yang tidak seharusnya tertumpu kepada ahli UMNO semata-mata tetapi harus diperluaskan kepada masyarakat lain.
"Selain penyokong tegar UMNO diluar sana, masih ada kelompok yang tidak berparti, mereka yang uzur dan tidak berkemampuan yang memerlukan perhatian.
"Walaupun berlainan parti, persatuan belia, persatuan ibu tunggal, persatuan persara kerajaan dan badan bukan kerakaan (NGO) lain juga perlu didekati.
"Kita perlu ubah pendekatan dengan dimensi baharu, komuniti ini sudah tentu mempunyai ahli dan penyokongnya. Jika kita dekati dengan berhemah dan penuh mesra, bantu keperluan mereka, tidak mustahil mereka akan menyokong perjuangan UMNO," katanya.
Bung Moktar berkata, dalam masa sama parti perlu membawa konsep politik menstabilkan ekonomi rakyat dan membangunkan ekonomi perniagaan seiring dengan cabaran ekonomi yang merundum ketika ini.
"Kita tidak lagi dengan pendekatan budaya lama dari segi penyusunan program. Contohnya jika mendekati golongan muda tidak sekadar dengan menganjurkan kejohanan sukan, membantu peralatan sukan tetapi program memberikan ilmu pengetahuan dalam bidang perniagaan dan keusahawanan juga perlu dianjurkan dengan kerjasama agensi kerajaan berkaitan.
"Ini bagi memastikan golongan belia dapat didedahkan dengan ilmu serta peluang yang disediakan oleh kerajaan untuk menjana ekonomi mereka," katanya.
Sehubungan itu, tegasnya sekali lagi, untuk menang dalam pilihan raya akan datang UMNO di Sabah tidak boleh bergantung kepada pengundi dalam kalangan ahlinya saja tetapi perlu menarik lebih ramai pengundi luar untuk menyokong perjuangan parti itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!