SUV rosak selepas beberapa minit dibawa keluar dari pusat pameran
SHAH ALAM - Seorang lagi pengguna media sosial tampil meluahkan rasa tidak puas hati dan mendakwa kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV yang baru dibeli oleh bapanya mengeluarkan bunyi pelik hanya beberapa minit selepas dibawa keluar dari sebuah pusat pameran kereta di Melaka Disember tahun lalu.
Pengguna Facebook yang dikenali sebagai Ahmad Shah mendakwa, bunyi pelik itu seakan-akan seperti bunyi motosikal bergerak.
“Ayah menghantar kereta tersebut ke cawangan pusat kenderaan berkenaan untuk pemeriksaan.
“Pihak itu hanya menukar tombol kunci pintu namun kereta masih mengeluarkan bunyi yang sama,” katanya
Menurutnya, kereta itu kemudiannya dibawa sekali lagi ke pusat kenderaan berkenaan untuk pemeriksaan dan dipandu uji kali kedua.
“Pengurus pusat kenderaan berkenaan mengesahkan ada bunyi tidak normal pada kenderaan tersebut.
“Dia maklumkan bahawa kereta tersebut akan dihantar ke pusat servis utama iaitu Honda Malaysia.
“Ini kerana dakwanya, cawangan berkenaan tidak dapat membuat apa-apa tanpa pemeriksaan yang lebih teliti daripada Honda Malaysia,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:SUV rosak hanya selepas dua minggu dipakai
ARTIKEL BERKAITAN:'Baru lapan jam beli kereta, terus rosak’
ARTIKEL BERKAITAN:Perodua setuju beli semula kereta dengan harga penuh - Pemilik Bezza
Dakwanya, selepas itu SUV berkenaan dihantar ke Honda Malaysia namun tiada langsung khabar berita mengenai statusnya.
“Ayah menghubungi semula pengurus tersebut dan dia maklumkan sentiasa cuba mendapatkan maklumbalas dan perkembangan dari Honda Malaysia namun setakat ini masih tidak diketahui apa puncanya.
“Agak pelik kerana kereta itu belum cecah sebulan lagi usianya namun tempoh jaminan daripada Honda seperti sudah tamat berpuluh tahun.
“Kemudiannya ayah berhubung dengan Ketua Perkhidmatan Pelanggan Honda Malaysia yang memaklumkan kes itu akan dirujuk semula dan diselesaikan oleh pihak cawangan,” luahnya,
Ahmad Shah berkata, selepas disiasat, rupanya mengikut laporan dibuat, tiada langsung dinyatakan mengenai bunyi pelik tersebut sebaliknya pihak itu hanya nyatakan ada isu tayar sahaja.
“Bunyi tersebut hilang apabila kereta berhenti namun akan mengeluarkan bunyi yang sangat kuat apabila kereta sedang bergerak,” katanya.
Pada Jumaat Sinar Harian melaporkan, seorang pengguna media sosial, Facebook, Noriya Mamat mendakwa Honda HR-V yang dibeli pada Ogos tahun lalu rosak selepas hanya dua minggu digunakan.
Menerusi hantaran berkenaan, Noriya berkata, kenderaan tersebut mengalami masalah selepas menghantarnya ke Pusat Servis Gong Badak, Terengganu pada 2 September lalu untuk servis 1,000 kilometer (km).
Menurutnya, keadaan lebih memilukan apabila Pusat Servis Honda itu memberikan alasan bahawa mereka tidak dapat mengesan punca masalah berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!