Majikan sorok PATI di tapak pembinaan
PERLIS - Tapak-tapak pembinaan berskala besar di negeri ini khususnya dikesan menjadi 'sarang' atau tempat perlindungan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang masih berdegil pulang ke negara asal.
Pengarah Imigresen Perlis, Basri Othman berkata, kedegilan pihak terlibat dipercayai turut dipengaruhi oleh tindakan majikan melindungi pekerja berstatus PATI menyebabkan golongan terbabit berani tinggal di negara ini walaupun tanpa dokumen sah.
Menurutnya, isu terbabit dipandang serius pihaknya dan tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melanggar atau menyalahi undang-undang negara.
“Siasatan awal mendapati kedegilan kesemua PATI yang ditahan juga disebabkan oleh pihak majikan masih mahu menggajikan mereka walaupun mengetahui status pekerja mereka dan ia menjadi punca situasi ini berlaku,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Terdahulu, pada 1 Januari lalu, Jabatan Imigresen Perlis telah menjalankan operasi bersepadu di sekitar Ulu Pauh, Arau dan Kangar melibatkan pemeriksaan ke atas 174 orang warga asing dengan menyasarkan beberapa lokasi rumah kongsi di tapak pembinaan yang dipercayai dijadikan penempatan PATI.
Operasi terbabit disertai seramai 20 pegawai bermula sebaik tamatnya program Back For Good (B4G) pada 31 Disember 2019 sebagai langkah penguatkuasaan terhadap PATI yang enggan dan degil menyertai program tersebut.
Menurutnya, operasi tersebut melibatkan penahanan seramai 13 warganegara Bangladesh, sembilan warganegara Indonesia dan dua Myanmar berumur dalam lingkungan 19 hingga 50 tahun dan kesemua mereka direman selama 14 hari untuk siasatan mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) di Depot Tahanan Imigresen Kangar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!