Pelabuhan Klang mampu berdaya saing dengan Singapura
[DIKEMAS KINI] NORTHPORT (Malaysia) Bhd (Northport) yakin faktor pengeluaran kos dan keluasan tanah bagi Pelabuhan Klang mampu dijadikan sebagai kelebihan dalam berdaya saing dengan Singapura.
Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata, ia berikutan pelabuhan Singapura tidak mempunyai tanah yang luas berbanding Pelabuhan Klang dan hal itu memberi kesan kepada kos dari aspek pembinaan fasiliti.
“Untuk bersaing dengan Singapura, Pelabuhan Klang perlu main peranan.
Maknanya Westports Holdings Bhd (Westports Holdings) dan Northport ada niche masing-masing, perlu saling melengkapi serta cuba jadikannya sebagai kelebihan banding dengan Singapura.
“Kalau tengok Singapura, gudang-gudang semuanya menegak.
Saya pernah pergi sana, sampai ada lori yang parkir di tingkat sembilan sampai tingkat 15.
“Tanah tidak mencukupi, jadi apabila buat gudang secara menegak seperti itu memang kos akan tinggi.
Memang Singapura ini adalah negara yang tinggi kadar kos kereta kalau dibanding dengan orang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dalam pertemuan sempena kunjungan hormat daripada delegasi Sinar Karangkraf pada Jumaat.
Bagaimanapun, ujar Azman Shah, pelbagai strategi perlu dirangka dalam usaha tersebut memandangkan Singapura masih lagi menjadi lokasi pilihan bagi syarikat-syarikat perkapalan yang besar.
“Jika boleh guna kelebihan kos rendah dan tanah yang banyak, kita bina fasiliti yang bagus terutamanya kalau ada ‘carrier island’ kita boleh berdaya saing.
“Cuma sekarang ini, pilihan syarikat perkapalan besar biasanya Singapura sahaja, jadi kita perlu menyusun strategi tetapi fasiliti kena ada untuk jadikan sebagai kelebihan dari segi pengeluaran kos,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurut beliau, Northport juga dalam proses membina lapangan kontena baharu sebagai perancangan tahun ini.
Ulasnya, terdapat beberapa usaha lain turut digerakan oleh pihaknya sebagai langkah menaik taraf kemudahan yang sedia ada.
“Kita ada robohkan beberapa struktur di kawasan tertentu. Kita buat lapangan kontena baharu untuk menambahkan kapasiti kita.
“Tahun lepas kita beli 34 peralatan terminal baharu, ada juga kita akan ganti. Pendigitalan akan terus dilaksanakan dan masih mencari tanah untuk membuat gudang,” menurutnya.
Kunjungan delegasi Sinar Karangkraf itu diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin.
Pertemuan selama sejam itu berlangsung di Bilik Mesyuarat CBM Northport, Jalan Pelabuhan, Pelabuhan Utara, Port Klang.
Turut serta dalam kunjungan tersebut ialah Ketua Pengarang Sinar Harian, Zamri Rambli; Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin dan Pengurus Besar Jualan Iklan Sinar Harian, Airol Fadley Limin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!