[VIDEO] Suami isteri dijel 5 tahun kes amang seksual sepupu OKU 14 tahun

A
A
A

KLANG – Tindakan pasangan suami isteri melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam berusia 14 tahun, mengundang padah apabila dipenjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen pada Isnin.

Hakim Noridah Adam memutuskan demikian selepas kedua-dua tertuduh yang berusia 33 dan 36 tahun mengekalkan pengakuan bersalah atas pertuduhan dihadapi mereka.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak, bermula tarikh tangkap iaitu 1 Disember tahun lalu, yang masing-masing ditempatkan di Penjara Kajang dan Sungai Buloh.

Mereka turut dikenakan perintah kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan selain pengawasan selama dua tahun selepas dibebaskan.

Noridah menjatuhi setiap tertuduh itu hukuman penjara lima tahun bagi pertuduhan pertama dan kedua manakala penjara dua tahun untuk pertuduhan ketiga serta keempat.

Si suami turut dipenjara setahun atas kesalahan menyimpan video lucah.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, suami isteri itu masing-masing didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara memegang dada mangsa yang juga sepupunya.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh juga disebat, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, mereka didakwa bersama-sama melakukan amang seksual bukan fizikal iaitu menyebabkan mangsa memerhati perbuatan kedua-dua tertuduh yang bersifat seksual.

Pasangan tersebut dibawa anggota polis selepas dijatuhi hukuman di Mahkamah Sesyen Klang, pada Isnin.
Pasangan tersebut dibawa anggota polis selepas dijatuhi hukuman di Mahkamah Sesyen Klang, pada Isnin.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 15(d) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Lelaki tersebut yang melakukan kerja-kerja kampung juga dituduh satu lagi pertuduhan menyimpan beberapa video lucah dalam telefon bimbitnya dan dengan itu boleh dihukum penjara selama tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan.

Pasangan itu didakwa melakukan semua kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Bukit Changgang, Kuala Langat pada 12 November dan 1 Disember tahun lepas.

Mengikut fakta kes, mangsa telah menerima pesanan WhatsApp daripada tertuduh lelai yang juga sepupunya menyuruh supaya datang ke rumah di lokasi kejadian untuk melipat baju.

Mangsa yang hadir kemudiannya telah diarahkan ke bilik sebelum berlakunya kejadian amang seksual tersebut.

Semasa prosiding, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan dengan penjara dijalani serentak daripada tarikh ditangkap sebelum ini.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul 'Izzati Mohamad mencadangkan pasangan suami isteri terbabit dikenakan hukuman berat dengan mengambil kira keseriusan jenayah seksual yang dilakukan terhadap seorang kanak-kanak.

“Tertuduh lelaki itu merupakan sepupu mangsa, telah memecahkan kepercayaan dengan melakukan perbuatan terkutuk.

“Saya mohon mahkamah ambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi selain memberi pengajaran agar kepada tertuduh serta orang awam supaya tidak melakukan perbuatan keji,” katanya yang turut mencadangkan suami isteri itu dikenakan perintah kaunseling dan pengawasan.