Penjawat awam perlu cepat selesai aduan rakyat - MB Selangor

Amirudin ketika berucap di Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 di Auditorium Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada Isnin.
Amirudin ketika berucap di Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 di Auditorium Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Penjawat awam di Selangor diingatkan mengamalkan sikap bersungguh-sunguh, teliti dan cepat dalam membuat keputusan dan menyelesaikan aduan rakyat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara sama telah diulangi beberapa kali ketika sesi perhimpunan bersama penjawat awam negeri sebelum ini.

Menurutnya, perubahan itu perlu dilakukan dalam mendepani landskap Selangor yang unik dan mencabar berbanding di negeri lain.

"Sebelum ini saya ingatkan agar segera berubah dan adaptasi dengan perubahan. Kemudian saya ingatkan, kita perlu bergerak secara profesional dalam tangani perbezaan peringkat Persekutuan dan negeri.

"Seterusnya kita perlu bersedia mendengar dan mendapat maklum balas banyak pihak, bertindak pantas atas masalah dan isu yang berlaku.

"Ini kerana fabrik dan landskap Selangor mencabar.

"Belum tentu kita boleh kekalkan kecemerlangan di tempat lain ketika berkhidmat Selangor," katanya pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 di Auditorium Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini pada Isnin.

Antara penjawat awam yang hadir di Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 Bersama Menteri Besar Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada Isnin.
Antara penjawat awam yang hadir di Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 Bersama Menteri Besar Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Amirudin berkata, perbezaan suasana kerja itu susulan persepsi rakyat yang mempunyai harapan tinggi terhadap Selangor.

"Selangor seperti 'melting pot' yang menjadi wadah untuk orang datang kerana kemakmuran dan kejayaan ekonomi bersama dengan hasil pendapatan tinggi, pencapaian pelaburan serta sumbangan KDNK (Keluaran Dalam Negeri Kasar) yang terus mencatat peningkatan saban tahun.

"Ini menjemput orang datang ke Selangor mencari rezeki dan membawa harapan serta cara hidup dan pandangan yang mungkin berbeza tetapi perlu kita harmonikan," katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, beliau akan turun bertemu penjawat awam secara berperingkat bagi mengumpul pandangan serta memperkemas pentadbiran.

"Sebelum ini pertemuan banyak bersama ketua jabatan peringkat negeri dan daerah, namun kali ini saya mahu jumpa seluruh penjawat awam termasuk eksekutif dan kakitangan sokongan.

"Ini kerana kita perlu bergerak bersama termasuk mereka yang bergerak di lapangan setiap hari.

"Pertemuan ini dijangka diadakan antara Februari depan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!