Wajib jawab salam walaupun bertulis dalam mesej atau WhatsApp
APABILA ada orang memberikan salam, wajib untuk kita menjawab ucapan mulia berkenaan. Semua maklum tentang hukum yang satu itu.
Terfikir juga bagaimana pula dengan hukum menjawab salam andai kita sekadar menerima mesej sahaja daripada keluarga mahupun rakan-rakan? Adakah diwajibkan juga untuk membalasnya?
Menurut bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, hukum sama terpakai kepada mereka yang menerima pesanan ringkas lafaz salam daripada aplikasi WhatsApps, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan seumpamanya.
Begitu juga andai seseorang menerima ucapan salam yang terkandung di dalamnya lafaz ditujukan buat pembaca ketika membaca surat.
“Mereka hendaklah menjawab atau membalas salam berkenaan. Ini kerana hukum pada penulisan sama kedudukannya dengan pertuturan.
“Jika menjawab salam yang dilafazkan itu, hukumnya adalah wajib. Maka menjawab salam yang disampaikan melalui penulisan itu juga adalah wajib,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web Maktabah Albakri.
Ia bertepatan dengan firman ALLAH SWT: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama).” (Surah an-Nisa’, ayat 86)
Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW bersabda kepada Aisyah RA bahawa: “Wahai Aisyah, ini Jibril. Dia mengucapkan salam kepadamu.” Lalu aku menjawab: “Wa’alaihis salamu wa rahmatullah (Dan ke atasnya keselamatan dan rahmat ALLAH).” Nabi Muhammad SAW melihat apa yang tidak aku lihat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam pada itu, Zulkifli menjelaskan, pihak yang menerima atau membaca mesej salam berkenaan boleh sahaja menjawabnya secara lisan tanpa membalas semula lafaz salam berkenaan.
“Walaupun cara itu sudah memadai, tetapi lebih afdal andai kita membalas semula ucapan salam berkenaan iaitu menjawabnya dengan mengirimnya kembali melalui pesanan ringkas tersebut,” ungkapnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!