Pemilihan jawatankuasa Bersatu bermula 25 Januari ini
SHAH ALAM - Pemilihan semua barisan jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan diadakan sempena dengan Persidangan tahunan Cawangan-Cawangan Bersatu yang berlangsung 25 Januari hingga 1 Mac depan.
Ia melibatkan peringkat cawangan, bahagian dan majlis pimpinan tertinggi (MPT) termasuk sayap-sayap Srikandi dan Armada.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu, Tan Sri Syed Hamid Jaafar Albar berkata, Persidangan Cawangan-Cawangan akan memilih Jawatankuasa Cawangan masing-masing dan Jawatankuasa Bahagian di mana Cawangan-Cawangan tersebut berada.
Menurutnya, persidangan cawangan hendaklah didahului oleh Persidangan Srikandi Cawangan dan Persidangan Armada Cawangan yang akan memilih Jawatankuasa Srikandi dan Armada Cawangan masing-masing serta Jawatankuasa Srikandi dan Jawatankuasa Armada Bahagian masing-masing.
“Saya merujuk kepada Persidangan tahunan Cawangan-Cawangan Bersatu yang dijadualkan berlangsung antara 25 Januari hingga 1 Mac 2020 dan Persidangan Bahagian-Bahagian Bersatu yang dijadualkan berlangsung serentak di seluruh negara pada 4 April 2020.
“Persidangan Bahagian-Bahagian akan memilih Majlis Pimpinan Tertinggi iaitu barisan kepimpinan parti di peringkat Pusat manakala Persidangan Srikandi dan Persidangan Armada Bahagian hendaklah diadakan sebelum Persidangan Bahagian.
"Persidangan Srikandi dan Armada Bahagian akan memilih Jawatankuasa Srikandi dan Jawatankuasa Armada Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Syed Hamid berkata, semua cawangan dalam sesuatu bahagian hendaklah bersidang pada tarikh yang sama dalam tempoh bagi persidangan cawangan yang telah ditetapkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi.
Ujarnya, tarikh persidangan ditentukan oleh bahagian setelah berunding dengan cawangan-cawangan.
“Ahli-ahli parti yang yang ingin bertanding bagi jawatan-jawatan di peringkat cawangan termasuk Srikandi dan Armada tidak perlu mendaftarkan pencalonan masing-masing.
“Mereka mestilah telah berdaftar sebagai ahli parti yang sah dan telah menjelaskan yuran tahunan selewat-lewatnya pada 31 Disember 2019 atau ahli seumur hidup.
“Bagi Armada, hanya mereka yang berumur 35 tahun dan ke bawah pada 1 Januari 2019 yang layak menghadiri persidangan dan bertanding bagi jawatan-jawatan di dalam Sayap tersebut tertakluk kepada syarat-syarat yang terpakai," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, adalah dimaklumkan bahawa ahli-ahli yang ingin bertanding bagi jawatan-jawatan di peringkat bahagian termasuk Srikandi dan Armada hendaklah mendaftarkan pencalonan masing-masing sempena hari Pendaftaran Pencalonan kepada petugas Jawatankuasa Pemilihan Parti di pejabat Bahagian masing-masing pada 13 Januari ini bermula jam 9.00 pagi hingga 2.00 petang.
“Pendaftaran hendaklah menggunakan borang pencalonan yang disediakan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti yang mestilah diisi sepenuhnya berserta Pencadang dan Penyokong.
“Bakal-bakal Calon juga hendaklah mengepilkan sijil asal Status Pengesahan Bebas Insolvensi dan status keahlian masing-masing. Borang Pencalonan boleh dimuat turun dari laman sesawang Parti (bersatu.org) atau diperoleh dari Jawatankuasa Pemilihan Parti Negeri masing-masing,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!