Tun M tidak berhak cakap soal kesetiaan - Vigneswaran

Vigneswaran. Foto Bernama
Vigneswaran. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak sebarang hak untuk mempersoalkan kesetiaan masyarakat India di negara ini dan kenyataan sensitif yang dikeluarkan oleh beliau baru-baru ini tidak perlu dilayan sama sekali.

Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, parti itu mengambil pendekatan untuk tidak melayan kenyataan sensitif yang dikeluarkan itu malah akan menumpukan fokus kepada perkara lain yang lebih penting.

"Kesetiaan ini adalah satu konsep yang tiada kena mengena dengan Tun M (Tun Mahathir) kerana dia tak setia pada UMNO, dia tak setia pada Bersatu, dia tak setia pada Pakatan Harapan yang telah melantik beliau Perdana Menteri pada 2018.

"... kita tak nak komen pada orang yang tak faham erti setia jadi kalau dia cakap soal kesetiaan biarlah dia cakap kalau dia faham dia pun setia, tak payahlah (untuk dilayan) kita ada kerja lain," katanya ketika ditemui selepas menghadiri sambutan Ponggal berdekatan bangunan MIC di sini pada Isnin.

Sebelum ini, Tun Dr Mahathir dalam sebuah temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit India, Thanthi TV, mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana mereka masih 'terikat' dengan negara asal mereka.

Ketika ditanya jika MIC akan mengambil sebarang tindakan terhadap kenyataan berbaur perkauman itu, Vigneswaran berkata, ia terpulang kepada pihak kerajaan.

"Bagi pihak kami di MIC kita dah buat keputusan di bawah Barisan Nasional (BN) pada masa itu dan kita berpegang pada prinsip itu (menghormati perlembagaan)," katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan status tokoh negarawan yang diterima Dr Mahathir.

Artikel Berkaitan:

"... sebab erti negarawan ini di negara Malaysia ini di mana rakyatnya ialah majmuk, negarawan ini adalah sepatutnya untuk setiap kaum, komen dia tak mengguris hati saya sebab kami setia tetapi dia yang tak faham erti setia itu," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!