Ee Yi 'disekat' masuk India
MALANG nasib beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi apabila terpaksa menarik diri daripada Terbuka India di New Delhi yang dijadual bermula pada Selasa susulan kegagalan Ee Yi mendapatkan visa kemasukan sah.
Ee Yi mengakui ia berlaku disebabkan kesilapannya yang memohon e-visa menggunakan pasport lama dan akibatnya dia terpaksa dihantar pulang ke tanah air biarpun sudah 'mendarat' di India.
"Sebab sendiri punya 'mistake' (silap), salah apply (mohon) e-visa pakai pasport lama.
Jadi sekarang tak boleh masuk India, mereka cakap nak hantar saya pulang.
"Sekarang tengah cuba buat emergency (kecemasan) visa, kalau tak boleh maka terpaksa tarik diri dari Terbuka India," katanya menerusi hantaran pertama Instastory 'ee_yi_111'.
Ee Yi kemudian memaklumkan perkembangan terbaharu bahawa dia sudah berada dalam pesawat untuk pulang ke tanah air.
"“First of all thank you so much to Malaysia Embassy for helping me and of course to who’s helping me and worry about me (Pertamanya, terima kasih kepada Kedutaan Malaysia kerana membantu saya dan kepada sesiapa yang membantu serta risau dengan diri saya).
"Unfortunately that’s nothing we can do, they decided to send me home and now I’m already in the flight. Sorry gaisss (guy’s) that was my mistake and last I have to withdraw for India Open (Malangnya, tiada apa yang boleh kami lakukan, mereka memutuskan untuk menghantar saya pulang dan sekarang sudah berada dalam pesawat. Mohon maaf kepada semua, itu adalah kesilapan saya dan pada akhirnya, kami perlu menarik diri daripada menyertai Terbuka India)," tulisnya.
Situasi itu pasti merugikan Ee Yi-Yew Sin yang memburu tiket kelayakan ke Sukan Olimpik Paris Julai depan, kerana kedudukan mereka belum selamat.
Ia susulan hanya lapan pasangan terbaik dunia boleh membariskan dua beregu ke temasya tersebut.
Ee Yi-Yew Sin ketika ini menghuni tangga ke-12 perlumbaan kelayakan Paris 2024.
Kejohanan Terbuka Malaysia yang menutup tirai pada Ahad, menyaksikan perjalanan Ee Yi-Yew Sin tersekat pada peringkat suku akhir selepas tumpas kepada Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun.
Kedua-dua pasangan dijadual bertemu seawal pusingan pertama pada Terbuka India yang berstatus Super 750.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!