'Jalan raya berlubang seperti kolam amat memalukan'

Jalan raya berlubang antara yang sempat dirakam Landrico ketika menghantar rombongan pelancong ke Lapangan Terbang Sandakan. Jalan raya sesak disebabkan kemalangan yang berlaku dipercayai berpunca daripada keadaan jalan raya rosak dan berlubang di sepanjang Telupid ke Batu 32 menuju Sandakan.
Jalan raya berlubang antara yang sempat dirakam Landrico ketika menghantar rombongan pelancong ke Lapangan Terbang Sandakan. Jalan raya sesak disebabkan kemalangan yang berlaku dipercayai berpunca daripada keadaan jalan raya rosak dan berlubang di sepanjang Telupid ke Batu 32 menuju Sandakan.
A
A
A

KOTA KINABALU - Keadaan jalan raya yang berlubang seperti kolam bukan saja disifatkan memalukan Sabah di mata pelancong tetapi turut menyusahkan pengguna jalan raya yang menggunakan laluan dari Telupid sehingga Batu 32 menuju ke Sandakan.

Keadaan itu dapat dilihat melalui paparan satu video berdurasi 54 saat yang dikongsikan seorang pemandu pelancong yang membawa seramai 30 pelancong luar negara ke Lapangan Terbang Sandakan pada Isnin.

Menurut Landrico M Lerado Jr, 51, dia terpaksa bergerak lebih awal dari Sukau bagi mengelak kesesakan lalu lintas disebabkan keadaan jalan raya yang teruk ketika melalui laluan utama untuk ke lapangan terbang.

Landrico berkata, biasanya perjalanan dari Sukau ke lapangan terbang memakan masa kira-kira dua jam sahaja tetapi jika berlaku kesesakan jalan raya disebabkan keadaan jalan rosak ia boleh mencecah sehingga tiga jam setengah perjalanan.

"Hari ini pelancong yang saya bawa akan menaiki kapal terbang jam 1 tengah hari jadi kami terpaksa bergerak seawal jam 8.30 pagi untuk mengelak terlewat sampai di lapangan terbang.

Pelancong terkandas selama lebih dua jam di kawasan sebelum simpang ke Beluran disebabkan berlakunya kemalangan di kawasan tersebut.
Pelancong terkandas selama lebih dua jam di kawasan sebelum simpang ke Beluran disebabkan berlakunya kemalangan di kawasan tersebut.

"Sepanjang melalui laluan tersebut, kami yang menaiki bas terpaksa bergerak perlahan kerana keadaan jalan yang kurang baik dan berlubang. Bukan lubang sebesar piring tetapi sudah seperti kolam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Landrico berkata, situasi itu amat memalukan kerana Sabah yang terkenal dengan produk pelancongan tetapi masih belum dapat menyediakan fasiliti sempurna bukan saja untuk rakyatnya tetapi pelancong yang berkunjung ke negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Kami amat malu bila berdepan dengan pelancong. Malah ada pelancong mempersoalkan walaupun kita sudah berada di tahun 2024 namun jalan raya masih teruk.

"Disebabkan keadaan jalan yang rosak ini juga banyak kemalangan telah berlaku di sepanjang laluan tersebut malah sehingga ada nyawa terkorban hanya kerana mahu mengelak lubang.

"Bila berlakunya kemalangan, pengguna jalan raya termasuk pelancong turut terkandas dalam kesesakan lalu lintas seperti yang berlaku baru-baru ini di mana ada pelancong terkandas selama lebih dua jam di laluan tersebut dan akhirnya menjejaskan jadual atau aktiviti pelancong itu sendiri," katanya.

Sehubungan itu, beliau yang sudah 31 tahun melalui laluan tersebut berharap pihak yang bertanggungjawab dapat mengambil perhatian dengan keadaan jalan raya di kawasan berkenaan.

"Ini kerana jalan tersebut adalah laluan utama bagi pelancong ke Sepilok atau ke Lapangan Terbang Sandakan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!