Syarikat umrah, dua pengarah didakwa 63 pertuduhan

Zulkarnain (kiri) dan Mazuin hadir di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Isnin.
Zulkarnain (kiri) dan Mazuin hadir di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - Sepasang suami isteri dan syarikat pengendali pakej umrah didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas 63 pertuduhan gagal mematuhi perintah award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) membabitkan jumlah RM589,031.

Kedua-dunya merupakan Pengarah Emraz Travel & Tours, Datuk Zulkarnain Endut, 43, dan Datin Mazuin Mustafa, 43, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Irza Zulaikha Rohanuddin.

Mengikut semua pertuduhan, Emraz Travel & Tours, Zulkarnain dan Mazuin selaku Orang Kena Saman (OKS), didakwa masing-masing atas 21 pertuduhan itu, yang mana ia memerintahkan supaya mereka membayar wang berkenaan kepada 21 mangsa.

Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat TTPM di Persiaran Perdana Presint 2, di sini, pada 8 Jun hingga 25 Ogos 2023.

Kedua-dua pengarah dan syarikatnya itu didakwa mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan boleh dihukum bawah seksyen dan akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sophian Zakaria mencadangkan setiap OKS diberi ikat jamin sebanyak RM42,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.

Menurutnya, OKS juga perlu dikenakan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sini.

"Kes ini membabitkan keingkaran award lebih setengah juta ringgit, memandangkan OKS dituduh gagal menunaikan tanggung jawab untuk menghantar semua mangsa ke Tanah Suci Makkah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, peguam, Datuk Hanif Hassan yang mewakili semua OKS, membantah perkara itu dan berkata, ikat jamin tidak diperlukan kerana ia hanya untuk memastikan kehadiran ke mahkamah dan bukannya suatu bentuk hukuman.

“Menyentuh isu ini, 63 pertuduhan kerana tidak dapat menepati award akibat ketidakmampuan kewangan,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Irza Zulaikha membenarkan dua pengarah itu diikat jamin sebanyak RM6,300 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Pada 23 November tahun lalu, media melaporkan Polis Diraja Malaysia mendapati sebuah syarikat menggunakan duit jemaah bagi kumpulan kedua dan ketiga, yang mahu ke tanah suci, menampung kos jemaah umrah kumpulan pertama.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, polis menerima 399 laporan berkaitan dakwaan kes penipuan pakej umrah, dengan kerugian bernilai RM14.2 juta sejak Januari tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!