AI bakal beri impak kepada 40 peratus pekerjaan global - IMF
WASHINGTON - Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva berkata, kecerdasan buatan (AI) bakal memberi kesan kepada hampir 40 peratus pekerjaan di seluruh dunia.
Justeru, beliau mahu ada keseimbangan dasar yang teliti untuk memanfaatkan potensi teknologi itu dengan sewajarnya, lapor Xinhua.
"Kita berada di ambang revolusi teknologi yang boleh melonjakkan produktiviti, meningkatkan pertumbuhan global dan meningkatkan pendapatan di seluruh dunia.
"Namun, ia juga boleh menggantikan pekerjaan dan mewujudkan lebih banyak ketidaksamaan," kata Georgieva dalam blog, memetik analisis terkini IMF baharu yang mengkaji kesan AI ke atas pasaran buruh di peringkat dunia.
Dari segi sejarah, automasi dan teknologi maklumat cenderung mempengaruhi tugas rutin tetapi satu perkara yang membezakan ialah keupayaan AI untuk memberi kesan kepada pekerjaan berkemahiran tinggi.
"Ekonomi maju mungkin menghadapi risiko yang lebih besar dengan penggunaan AI namun banyak juga peluang untuk memanfaatkan faedahnya berbanding dengan pasaran baharu muncul dan ekonomi membangun," menurut blog itu.
Kira-kira 60 peratus pekerjaan mungkin terkesan oleh AI.
Di pasaran-pasaran baharu dan negara berpendapatan rendah, pendedahan kepada AI dijangka masing-masing adalah 40 dan 26 peratus.
Bagaimanapun, kebanyakan negara itu tidak mempunyai infrastruktur atau tenaga kerja terlatih untuk memanfaatkan potensi AI sekali gus meningkatkan lagi potensi ketidakseimbangan dalam kalangan negara.
Beliau yang turut mengakui bahawa AI boleh memberi impak kepada ketidakseimbangan pendapatan dan kekayaan negara, Georgieva berkata, pembuat dasar harus proaktif untuk memastikan dan mengelakkan teknologi ini meningkatkan lagi tekanan sosial.
"Adalah penting untuk menetapkan rangka kerja keselamatan sosial yang komprehensif dan menawarkan program latihan semula untuk pekerja yang rentan.
"Dengan demikian kita boleh membuat peralihan AI secara lebih inklusif, melindungi mata pencarian dan mengawal ketidakseimbangan," katanya.
Ketua IMF itu menyarankan agar ekonomi maju memberikan keutamaan kepada inovasi dan integrasi AI sambil membangunkan kerangka dasar regulasi yang kukuh.
Bagi pasaran baharu dan ekonomi membangun, keutamaan perlu diberikan untuk membina landasan yang kukuh melalui pelaburan dalam infrastruktur digital dan tenaga kerja yang mahir digital, katanya. - Bernama-Xinhua
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!