Cadangan RUU wajar, wujudkan kerajaan lebih stabil
IPOH - Cadangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya rang undang-undang (RUU) khusus digubal adalah wajar bagi mewujudkan kerajaan stabil.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, cadangan supaya mengekalkan sesebuah kerajaan mentadbir negara ke akhir penggal itu dapat meyakinkan pelaburan dan rakyat dalam meneruskan pembangunan negara.
"Ini rentetan daripada Langkah Dubai sebelum ini, cadangan Ahmad Zahid itu adalah untuk menutup sebarang peluang, kenyataan yang sentiasa mengatakan 'ada tarikh' dan sebagainya.
"Pelabur akan mengambil kira perkara itu seperti mesyuarat pelaburan Investment Management Centre (InvestPerak) sebentar tadi. Kalau setiap minggu ada kenyataan, bila masanya pelabur hendak yakin kepada kerajaan," katanya kepada pemberita pada sidang media Konvensyen Kerajaan Perpaduan Negeri Perak di Bangunan UMNO Perak di sini pada Isnin.
Saarani berkata, kerajaan negeri bersedia mengguna pakai RUU berkenaan sekiranya ia diluluskan di Parlimen.
"Kalau ia telah menjadi Perlembagaan, negeri kena ikutlah. Ia mengikut Jadual Kesembilan dalam Perlembagaan Persekutuan, jadi negeri kena sahkan di peringkat Dewan Undangan Negeri.
"Ia sama seperti Perlembagaan berkaitan persempadanan kawasan pilihan raya dan Akta Anti Lompat Parti sebelum ini. Setelah diluluskan, negeri akan ikut," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, Kerajaan Perpaduan yang ada kini sudah cukup kukuh dan tidak wajar isu Langkah Dubai dibangkitkan.
"Saya tidak faham kenapa isu Langkah Dubai itu dibangkitkan melainkan ini hanya sekadar untuk menakutkan pelabur. Ia tidak memberi mesej yang baik kepada pegawai-pegawai perkhidmatan awam kerana mereka tidak tahu siapa yang akan menjadi 'government of the day' selepas ini.
"Jadi yang ruginya adalah rakyat. Saya hendak ingatkan 157 (kerusi) itu sudah cukup stabil dan pihak-pihak terlibat berhentilah kerana bukan sahaja menjejaskan pelabur tetapi ia memberi satu ketidakpercayaan rakyat kepada institusi politik," katanya.
Pada Sabtu, Ahmad Zahid mencadangkan supaya satu RUU bagi mengekalkan sesebuah kerajaan mentadbir negara sehingga ke akhir penggal dibentangkan di Parlimen.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, ia bagi memastikan peristiwa terdahulu seperti pertukaran perdana menteri sebanyak tiga kali pada penggal Parlimen ke-14 tidak berulang pada masa hadapan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!