Tragedi Bukit Kukus: Tunggu laporan DOSH
GEORGETOWN- Kerajaan Pulau Pinang sedang menunggu laporan akhir dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) berhubung siasatan kejadian tanah runtuh di Bukit Kukus, Paya Terubong tahun lalu.
Ia bagi membolehkan kerajaan negeri membuat keputusan dan mengambil tindakan selanjutnya berdasarkan laporan akhir tersebut.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri perlu bergantung kepada DOSH kerana jabatan tersebut bertanggungjawab ke atas siasatan yang dijalankan.
Menurutnya, sehingga kini, kerajaan negeri telah menerima dua laporan daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jawatankuasa Siasatan Khas yang dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.
"Kerajaan negeri sudah menerima laporan dari MBPP tentang kemungkinan faktor dan pihak yang bertanggungjawab ke atas kejadian itu.
"Namun, berdasarkan dua laporan yang dibentangkan dalam Mesyuarat Exco tadi, kerajaan negeri memutuskan agar Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Farizan Darus berhubung terus dengan DOSH.
"Ia untuk mengetahui perkembangan terkini mengenai siasatan yang dijalankan bagi membolehkan kerajaan mengambil langkah seterusnya. Kita bergantung penuh dengan laporan akhir DOSH kerana ini di bawah bidang kuasa mereka," katanya kepada media tadi.
Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan sentiasa berhubung dengan DOSH bagi mengetahui perkembangan terkini termasuk arahan berhenti kerja yang dikeluarkan sebelum ini akan ditarik semula.
"Kita nak tahu, bila arahan berhenti kerja itu boleh ditarik semula agar kerja di tapak pembinaan tersebut dapat disambung semula selain membolehkan kerajaan negeri membuat keputusan untuk langkah seterusnya.
"Buat masa ini, kita tidak boleh mengambil sebarang tindakan yang sepatutnya kerana belum mendapat laporan akhir dari DOSH. Saya difahamkan, DOSH akan membuat pengumuman mengenai laporan akhir mereka.
"Dan semestinya kita mengharapkan laporan akhir itu akan membenarkan projek ini diteruskan berdasarkan cadangan yang dikemukakan DOSH. Malah apa sahaja tindakan kerajaan negeri, ia akan berdasarkan maklum balas dari DOSH," katanya.
Dalam tragedi pada 19 Oktober lalu, sembilan mangsa ditemui maut tertimbus manakala tiga lagi cedera di tapak pembinaan jalan berkembar di Bukit Kukus, Paya Terubong.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!