Konvensyen Kerajaan Perpaduan Perak kukuh persefahaman PH, BN
IPOH - Konvensyen Kerajaan Perpaduan negeri Perak 2024 akan menjadi medan bagi menyuburkan semangat dan perpaduan dalam kalangan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, usaha itu merupakan komitmen seluruh barisan kepimpinan untuk merungkaikan segala perbezaan sekali gus mengukuhkan kestabilan dan kesejahteraan negeri.
"Program diadakan pada 28 Januari ini bakal menjadi pentas menghimpunkan para pimpinan utama dan pimpinan akar umbi setiap parti sekali gus menjadi platform penting bagi memperkukuhkan persefahaman dan kerjasama antara satu sama lain.
"Selain itu ia akan membentuk kesepakatan mencipta naratif kerjasama yang lebih jitu bagi menghadapi cabaran-cabaran politik semasa," katanya dalam sidang media Konvensyen Kerajaan Perpaduan Negeri Perak di Bangunan UMNO Perak di sini pada Isnin.
Hadir sama, Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.
Menurut Saarani, program bertemakan 'Madani: Mengangkat Agenda Rakyat Perak' akan menjadi pentas kepimpinan dalam melontarkan pandangan terhadap usaha memperkasa dan mengupayakan ekonomi negeri serta rakyat.
"Antara agenda penting yang akan dijalankan semasa konvensyen tersebut adalah ucapan dasar dan 'mind setting' dengan memberi tumpuan kepada hala tuju kerajaan negeri.
"Ia disusuli sesi perbahasan oleh wakil-wakil daripada semua parti yang akan mengupas inti pati ucapan dasar bagi membolehkan percambahan idea," katanya.
Menteri Besar Perak itu berkata, Forum Kerajaan Perpaduan – Perspektif Orang Muda dan Forum Perpaduan Mengangkat Agenda Perak Sejahtera 2030 akan dijalankan pada konvensyen itu.
"Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka akan menghadiri sesi penggulungan dan kedua-duanya dijadual berucap bagi menyempurnakan majlis penutup konvensyen.
"Seramai 1,500 orang akan menghadiri konvensyen itu terdiri dalam kalangan parti-parti komponen," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!