Tolak desakan makzulkan Jokowi
JAKARTA - Parti Amanat Nasional (PAN) dan Golkar menolak desakan supaya memakzulkan (memecat) Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi yang didakwa menzahirkan sokongan secara terang-terangan terhadap calon presiden (capres) No. Siri Dua, Prabowo Subianto yang bergandingan dengan anak sulungnya, Gibran Rakabuming.
Ketua Golkar, Airlangga Hartarto menegaskan isu itu tidak diperkatakan dalam kalangan parti politik di Parlimen.
"Ia sememangnya mengarut. Tiada gesaan tentang pemecatan Jokowi," kata Menteri Penyelaras untuk Hal Ehwal Ekonomi itu ketika menyertai kempen pilihan raya di Mandalika, Nusa Tenggara Barat.
Sementara itu, PAN juga menggesa kesemua pihak supaya tidak menggembar-gemburkan perkara tersebut ketika negara berkenaan sedang membuat persiapan akhir menjelang Pemilihan Umum (Pemilu 2024) pada 14 Februari depan.
"Ketika ini, kami sedang memberi tumpuan kepada Pemilu dan Pilihan Raya Presiden (Pilpres).
Masih tidak jelas asas tuntutan pemecatan Jokowi. Bagaimana mereka boleh terfikir untuk memecat Presiden?
"Jangan terburu-buru hanya kerana motif politik kerana ia boleh menimbulkan kontroversi dan perdebatan umum," kata Ketua Fraksi DPR (PAN), Saleh Partaonan Daulay menerusi kenyataan bertulis pada Isnin.
Menurutnya, pemecatan Presiden terkandung dalam Perlembagaan 1945 di bawah Fasal 7A menetapkan Presiden hanya boleh disingkirkan setelah terbukti melanggar undang-undang dalam bentuk pengkhianatan kepada negara, korupsi, terlibat rasuah dan perbuatan jenayah berat lain serta didapati tidak lagi berupaya untuk terus memegang jawatan tertinggi negara.
Atas dasar itu, Saleh meminta orang ramai supaya membuka mata untuk melihat sama ada terdapat pelanggaran jelas dilakukan Jokowi.
"Cuba semak dengan teliti. Adakah Jokowi melakukan perkara sedemikian?
Sebaliknya, beliau telah menjalankan tanggungjawab dengan baik.
Popularitinya juga masih tinggi dan orang ramai sangat menyukainya," katanya lagi. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!