Boost Bank dapat kelulusan beroperasi bank digital, laksana ujian alfa
BOOST, peneraju teknologi kewangan (fintech) serantau dan rakan konsortiumnya, RHB Banking Group (RHB) memulakan operasi sebagai bank digital berkuatkuasa Isnin.
Kelulusan rasmi itu diterima daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) sekali gus akan menjadi bank digital pertama majoriti milik Malaysia.
Bank digital itu secara rasminya dikenali sebagai Boost Bank oleh Axiata dan RHB (Boost Bank) dan akan diterajui oleh Fozia Amanulla, selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang mempunyai pengalaman luas serta kepakaran dalam teknologi, keselamatan maklumat, produk, risiko dan pematuhan.
Menurut Fozia, walaupun mendapat kelulusan untuk memulakan operasi, namun buat masa ini ia akan terlebih dahulu menjalankan fasa ujian alfa yang bertujuan meningkatkan produk secara progresif dan memperhalusi pengalaman penggunanya.
“Fasa tersebut hanya akan dibuka untuk ujian dalaman yang melibatkan pekerja, keluarga, rakan dan kumpulan pelanggan terpilih.
"Saya berbesar hati untuk menerajui pasukan bank digital yang luar biasa ini, sambil kami membuka jalan, bukan sahaja untuk industri malah untuk seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan Axiata, Vivek Sood berkata, matlamat penubuhan bank itu adalah untuk menawarkan pilihan perbankan digital yang lebih meluas untuk mereka yang memiliki akses terhad kepada kemudahan perbankan konvensional.
“Axiata komited untuk mewujudkan ekosistem perbankan digital yang dinamik, daripada menawarkan dompet digital kepada lebih 10 juta pelanggan Boost seterusnya memperkenalkan penyelesaian perbankan digital yang lebih inovatif kepada rakyat Malaysia yang kurang dan tidak mendapat akses perkhidmatan," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boost, Sheyantha Abeykoon menjelaskan, pihaknya menghargai kepercayaan dan keyakinan pengawal selia terhadap bank digital itu.
“Pasukan kami terus komited untuk mengekalkan standard tertinggi sambil kita membayangkan semula perkhidmatan kewangan secara bertanggungjawab, melalui kuasa teknologi dan data," ujar beliau.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group, Mohd Rashid Mohamad berkata, kelulusan yang diterima daripada BNM dan MOF adalah pencapaian penting dalam komitmen pihaknya bersama Boost untuk mewujudkan ekosistem kewangan yang lebih inklusif.
“Kami yakin Boost Bank bersedia untuk menerajui landskap teknologi kewangan digital. Kami akan merealisasikan kemajuan bagi semua untuk memastikan ekosistem kewangan yang teguh dan inklusif yang bakal memberi manfaat kepada semua dalam komuniti kami," jelasnya.
Pemegang utama ekuiti Konsortium Bank Digital Boost-RHB adalah Boost dengan 60 peratus dan bakinya dikuasai RHB, adalah antara lima pemohon lesen yang berjaya diumumkan oleh BNM pada April 2022.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!