Akta Parlimen Berpenggal tidak demokratik - Khairy

Khairy menyelar usul yang dibawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu sebagai cadangan tidak demokratik.
Khairy menyelar usul yang dibawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu sebagai cadangan tidak demokratik.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menolak cadangan untuk mewujudkan Akta Parlimen Berpenggal jika ia dibuat kerana bimbang kerajaan akan tumbang.

Beliau berkata, usul dibawa oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu merupakan cadangan tidak demokratik.

Menurutnya, jika cadangan daripada Ahmad Zahid merupakan usul seperti mana yang berlaku di United Kingdom (UK), perkara itu boleh diperbincangkan.

“UK macam Malaysia juga dalam tempoh lima tahun. Perdana Menteri boleh minta Parlimen dibubarkan dan diadakan pilihan raya pada bila-bila waktu apabila dapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.

“David Cameron telah menggubal Akta Sistem Parlimen yang mana penggal Parlimen itu telah ditetapkan dan pilihan raya dijadualkan secara automatik pada hari Khamis pertama bulan Mei setiap lima tahun.

“Dan itu hanya dapat dielak melalui dua cara sahaja, melalui undian tidak percaya di Parlimen atau ada undian dua per tiga di Parlimen untuk adakan pilihan raya lebih awal,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi program Podcast Keluar Sekejap yang dikendalikan bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, pada Isnin di saluran Youtube.

Sebelum ini, Ahmad Zahid mencadangkan penggubalan rang undang-undang (RUU) penggal tetap Parlimen supaya pembentukan sesebuah kerajaan kekal sehingga akhir penggal atau sebelum pilihan raya umum (PRU) seterusnya diadakan.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, langkah itu berupaya menjamin kestabilan negara berikutan kerajaan tidak diganggu oleh percaturan ahli politik demi kepentingan dan agenda masing-masing.

Sementara itu, Khairy mencadangkan kepada Speaker dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said untuk melaksanakan undian tidak percaya dengan meletakkan syarat bahawa perlu ada satu surat yang ditandatangani oleh 15 atau 20 ahli Parlimen.

“Perkara pertama yang kita perlu buat untuk memastikan bahawa kerajaan ini ada keabsahan. Jika ada cabaran, tidak lagi ada Langkah Dubai, akuan bersumpah (SD), usaha tebuk atap melalui istana dan sebagainya.

“Cara untuk mencabar hal ini hanya melalui Parlimen. Saya nak bagi konkrit cadangan kepada Speaker dan Menteri Undang-Undang. Kita syaratkan bahawa, hanya perlu satu surat yang ditandatangani oleh 15 atau 20 ahli Parlimen supaya usul itu dibahaskan,” ujarnya.

Tambah beliau, pembangkang juga akan mengatur strategi untuk elak daripada melakukan undi tidak percaya setiap minggu.

“Kalau buat setiap minggu, rakyat pun bosan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!