KPDN tahan suami isteri jual barangan tiruan jenama terkenal
NIBONG TEBAL - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang membongkar kegiatan sepasang suami isteri menjual pelbagai barangan tiruan berjenama terkenal dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di kawasan perumahan elit di Simpang Ampat, di sini pada Isnin.
Dalam serbuan kira-kira jam 11 pagi itu, pasukan KPDN Pulau Pinang menahan pasangan suami isteri dan dua pekerja mereka serta merampas pelbagai barangan tersebut bernilai RM70,250.
Pengarah KPDN Pulau Pinang, S Jegan berkata, pihaknya menerima aduan daripada wakil syarikat cap dagang sebelum menjalan risikan sejak seminggu lepas dan menyerbu rumah teres dua tingkat yang disewa pasangan tersebut hari ini.
"Semasa serbuan itu, terdapat pasangan suami isteri dan dua pekerja wanita yang kesemuanya berusia 23 hingga 31 tahun berada dalam rumah tersebut dan mereka sedang membungkus barangan dipercayai untuk dihantar kepada pelanggan menerusi kurier.
"Pemeriksaan dalam rumah itu, kami menemui barangan antaranya beg tangan, beg, dompet, barang kemas dan minyak wangi menggunakan cap dagangan berdaftar pelbagai jenama antaranya Louis Vuitton, Channel, Christian Dior, Gucci, Balenciaga dan Celine yang disyaki palsu," katanya kepada pemberita selepas serbuan itu.
Jegan berkata, pihaknya kemudiannya merampas sebanyak 1,437 unit pelbagai barangan itu yang bernilai RM70,250 dan siasatan awal mendapati pasangan suami isteri tersebut menjalankan perniagaan serta menjual secara dalam talian melalui siaran langsung di aplikasi media sosial.
Katanya, suspek lelaki itu mendakwa dia menjual dalam talian secara siaran langsung tiga kali seminggu dan mampu menjual sehingga RM5,000 bagi setiap sesi jualan serta memperoleh lebih RM50,000 sebulan.
"Kita menghadapi kesukaran untuk masuk ke sini kerana perumahan tersebut merupakan kawasan elit dan dilengkapi pengawal keselamatan serta pengawal perlu menelefon tuan rumah terlebih dahulu sebelum membenarkan pasukan penguat kuasa KPDN masuk ke sini.
"Namun tindakan pasukan kita yang menjalankan penyamaran terlebih dahulu berjaya membongkar kegiatan itu di rumah yang disewa oleh pasangan suami isteri tersebut dengan bayaran RM1,800 sebulan sejak empat bulan lepas," katanya.
Beliau berkata, mereka sebelum ini menyewa rumah di Parit Buntar, Perak untuk menjalankan kegiatan tersebut dan berpindah randah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Menurutnya, berdasarkan siasatan, pasangan suami isteri itu tinggal di rumah tersebut bagi menjaga barangan berkenaan dan mereka dipercayai baru sahaja mendapatkan bekalan barang-barang itu dari China untuk dijual sempena Tahun Baharu Cina nanti.
"Kami menahan empat individu itu untuk siasatan lanjut dan kes tersebut disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!