Laporan siasatan kebakaran kediaman Koo Ham siap minggu ini

Sayani (kiri) melakukan pemeriksaan perbarisan kehormat sempena Amanat Pengarah Tahun 2024 di Ibu Pejabat JBPM Perak pada Isnin.
Sayani (kiri) melakukan pemeriksaan perbarisan kehormat sempena Amanat Pengarah Tahun 2024 di Ibu Pejabat JBPM Perak pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Laporan siasatan kebakaran membabitkan kediaman Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di Taman Semarak Jaya dekat Ayer Tawar pada 10 Januari lalu dijangka siap minggu ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, laporan itu meliputi keputusan analisis dua bahan bukti utama iaitu molotov cocktail yang diambil di lokasi kejadian.

"Siasatan bomba telah dilakukan secara menyeluruh, kita cuma menunggu pengesahan untuk menentukan bahan apa yang ditemui dalam dua bukti yang kita hantar ke makmal.

"Kalau ikut prosedurnya memerlukan tempoh 10 hari, jadi saya jangka kemungkinan dalam tempoh dua ke tiga hari ini keputusannya akan diperolehi untuk kita lengkapkan siasatan," katanya kepada pemberita sempena Majlis Amanat Pengarah Tahun 2024 di Ibu Pejabat JBPM Perak di sini pada Isnin.

Beliau berkata, siasatan dijalankan bomba adalah untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian sama ada melibatkan pembakaran atau disebabkan perbuatan khianat.

"Jika keputusan diperoleh nanti menyatakan adanya unsur khianat di lokasi kejadian, maka kita akan membuat makluman kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Minggu lalu, JBPM Perak telah mengambil 11 sampel di lokasi kebakaran dan menjalankan proses forensik dengan bantuan Unit Anjing Pengesan K9 bagi membantu siasatan.

Polis sebelum ini tidak menolak kemungkinan kebakaran berlaku akibat perbuatan khianat susulan penemuan bahan letupan dipercayai molotov cocktail.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian sekitar jam 3 pagi itu, pemimpin DAP tersebut bersama ahli keluarganya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kebakaran hanya melibatkan kemusnahan sebuah kereta Mercedes Benz E300 dan kesan kepanasan kepada dua kenderaan lain iaitu jenis Honda CRV dan Toyota Hilux.

Sementara itu dalam ucapannya, Sayani berkata, sepanjang tahun lalu JBPM Perak telah melakukan siasatan ke atas 973 kes melibatkan 672 kebakaran struktur dan 301 kenderaan.

Katanya, sebanyak 67 kes telah dibawa kepada pertuduhan di mahkamah di bawah Seksyen 10, Seksyen 26 dan Seksyen 33 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 dengan kutipan denda RM114,600.

"Dari segi operasi, kita telah menerima 9,309 panggilan kecemasan dengan 2,141 melibatkan kes kebakaran, 7,168 kes penyelamatan manakala 148 lagi lain-lain tugas khas.

"Bagi pencapaian respond time bawah 10 minit pula, JBPM Perak berjaya mencapai peningkatan kepada 72.27 peratus pada 2023 berbanding 68.15 peratus tahun sebelumnya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!