Jonah pernah fikir mahu bersara, bekerja di kedai serbaneka

Jonah memecah rekod kebangsaan 17.67m dalam acara lontar peluru Kejohanan Olahraga Antarabangsa Mokpo, Korea Selatan, Oktober tahun lalu. Foto Agensi
Jonah memecah rekod kebangsaan 17.67m dalam acara lontar peluru Kejohanan Olahraga Antarabangsa Mokpo, Korea Selatan, Oktober tahun lalu. Foto Agensi
A
A
A

PEMEGANG rekod kebangsaan lontar peluru, Jonah Chang Rigan hampir melupakan arena olahraga pada usia muda kerana elaun yang diterimanya berbanding pengorbanan yang dicurahkan buat negara tidak berbaloi.

Atlet berusia 21 tahun itu meluahkan menerima tekanan daripada keluarga susulan jumlah elaun kecil yang diterima di sebalik dilemanya yang memerlukan pendapatan tetap seperti golongan bekerja.

“Tahun lalu saya rasa amat kecewa kerana masih diberi elaun.

"Memang kami atlet, tapi kami sepenuh masa yang berkerja keras menjalani latihan.

“Malah ketika kami mengalami kecederaan tiada yang peduli, tapi tak mengapa kami pergi ISN (Institut Sukan Negara).

“Namun difikirkan balik, mengapa kami masih diberi elaun dan bukannya gaji, tak seperti orang bekerja di 7 Eleven atau Speedmart?” ujar Jonah ketika ditemui media selepas majlis Malam Anugerah Olahrga Malaysia di Kuala Lumpur pada malam Ahad.

Jonah menggegarkan arena olahraga negara apabila mencipta rekod baharu kebangsaan 17.67 meter (m) di Kejohanan Olahraga Antarabangsa Mokpo, Korea Selatan, Oktober tahun lalu.

Dia mengatasi rekod berusia 12 tahun milik Adi Alifuddin Hussin, 17.54m yang dicipta pada Sukan Sea Palembang, Indonesia (2011).

Artikel Berkaitan:

Atlet yang berasal dari Sarawak itu hampir memilih keputusan tersebut selepas menyuarakannya kepada keluarga tahun lalu.

“Saya beritahu keluarga sudah berasa give up menjadi atlet dan mahu bekerja. Saya orang Sarawak, kami kuat berkerja, dari kecil sampai besar saya fikirkan kerja tapi apabila datang ke MSN (Majlis Sukan Negara) hanya dapat elaun kecil," ujar Jonah.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) baru-baru ini mengumumkan elaun bulanan atlet yang berada di bawah Program Podium ditukar kepada gaji dan akan dinaikkan dengan minimum asas sebanyak RM1,500 sebulan.

Atlet yang berada di bawah program berkenaan akan turut menerima caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Namun saya lega tahun ini dapat gaji, sudah seperti orang yang berkerja sepenuh masa, kami menjadi atlet bukan part time tapi full time dan turut berjasa kepada negara.

“Saya berterima kasih kepada Menteri, Hannah Yeoh kerana realisasikan apa yang senior-senior saya nantikan selama ini, great job,” kata Jonah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!