Bangunkan masyarakat cekap tenaga
SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) giat membangunkan masyarakat yang lebih berpengetahuan dan prihatin terhadap perlindungan alam sekitar serta kecekapan tenaga menerusi Pertandingan Video Kreatif ‘Bijak Tenaga’ TNB-Sinar Bestari.
Ketua Komunikasi Luaran, Komunikasi Korporat Kumpulan TNB, Datin Ruslinda Ibrahim berkata, mesej tentang panduan cekap tenaga boleh disampaikan kepada masyarakat secara lebih santai dan kreatif.
Katanya, ia sangat menarik dan dekat di hati semua lapisan masyarakat kerana lebih realistik dan berkisar norma seharian.
“Alhamdulillah, video hashtag #TNBsinarbestari dan #kempenjimattenaga mendapat lebih 1.5 juta tontonan, sekali gus menunjukkan kempen itu berjaya mempengaruhi sejumlah besar masyarakat yang menonton video dihasilkan.
“Melihat sambutan positif yang diterima, insya-ALLAH kami akan mempertimbangkan untuk meneruskan program ini pada masa akan datang kerana pendidikan dan pembangunan masyarakat perlu dilaksanakan secara berterusan,” katanya.
Tambahnya, TNB tidak akan berhenti dalam usaha membangunkan masyarakat peka tenaga melalui pelbagai inisiatif.
“Kita mahu melihat lebih ramai rakyat Malaysia yang memahami dan mengamalkan amalan bijak tenaga.
“Oleh itu, pertandingan ini bukan hanya satu platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan penggunaan tenaga dengan bijak dan cekap, tetapi juga merupakan langkah proaktif TNB dalam mendukung agenda nasional untuk membangunkan masyarakat peka tenaga menerusi Malaysia Energy Literacy Program (MELP),” jelasnya.
Ruslinda berkata, kerjasama itu juga menunjukkan TNB berpegang pada slogan Better World Brighter Live yang tidak mementingkan kelangsungan perniagaan dan keuntungan semata-mata.
“Syarikat mahu bersama mewujudkan dunia yang lebih baik dan sejahtera,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!