Malaysia kecewa APSF tunduk kepada Filipina
PRESIDEN Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin kecewa dengan tindakan Persekutuan Sukan Para Asean (APSF) yang disifatkannya sebagai tunduk kepada Jawatankuasa Penganjur Sukan Para ASEAN (PHILAPGOC) Filipina berkaitan isu penangguhan edisi ke-10 itu.
Menurutnya, APSF sebagai badan induk seharusnya melindungi kebajikan dalam kalangan negara-negara ahlinya dalam perkara ini.
"Pada saya apabila Presiden APSF, Mejar Jeneral Osoth Bhavillai bercakap mengenai pengukuhan hubungan perpaduan dalam kalangan ahli-ahli gabungan, saya memang tiada masalah dengan bab-bab berkaitan perpaduan ini
"Tapi saya tidak setuju sama sekali apabila beliau tidak prihatin langsung sama sekali dengan penangguhan yang pastinya menjejaskan persediaan mental para atlet negara. Tidak hanya itu perbelanjaan juga terpaksa dibuat sebanyak dua kali setelah banyak wang dikeluarkan untuk mempersiapkan atlet negara tetapi juga untuk pelbagai tempahan di sana sebelum ini.
"Saya juga difahamkan terdapat beberapa negara lain seperti Indonesia dan Kemboja juga kurang senang dengan tindakan PHILAPGOC yang menangguhkan sewenang-wenangnya tanpa merujuk kepada ahli-ahli APSF," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Megat D Shahriman berkata demikian ketika diminta mengulas intipati ucapan Tahun Baharu Osoth Bhavillai yang menyifatkan penangguhan Sukan Para ASEAN 2020 di Filipina daripada 18 hingga 24 Januari kepada 20 hingga 28 Mac 2020 tidak boleh dijadikan halangan utama bagi ahli APSF.
Sebaliknya Bhavillai menggesa setiap ahli gabungan APSF meneruskan sokongan kepada kejayaan penganjuran kejohanan dwitahunan bagi atlet kurang upaya itu.
Tambah Megat D Shahriman yang juga ketua kontinjen negara ke temasya itu berkata, sebagai badan induk sepatutnya ASPF mendapatkan maklumbalas daripada ahli gabungan mengenai tindakan PHILAPGOC.
Katanya, tindakan ASPF yang sekadar memanjangkan keputusan PHILAPGOC kepada ahli juga seolah-olah menunjukan badan itu tidak serius dan bertegas dalam isu ini.
"Saya amat kecewa apabila APSF hanya memanjangkan surat isu penangguhan PHILAPGOC tanpa memanggil ahli gabungan berbincang lanjut.
"Kalau tunda pun sepatutnya dikenakan penalti kepada penganjur atau setidak-tidaknya bayaran pampasan kerugian kepada negara-negara ahli yang telah mengeluarkan perbelanjaan awal," jelasnya yang tegas berpendirian mahu temasya itu tetap berlangsung mengikut tarikh asal.
Kata Megat D Shahriman lagi, pihaknya akan ke Bangkok pada 6 Januari ini untuk bertemu APSF bagi menyatakan bantahan dan pendirian pihak MPM dalam isu ini.
Menurutnya, pada pertemuan berkenaan nanti beliau juga mahu APSF bertegas dalam isu ini dengan mengenakan tindakan terhadap Filipina supaya perkara itu tidak berulang pada masa depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!