'Cakap semua senang, tapi kerja ini siapa nak buat' - Norza
PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria enggan mengambil peduli tentang 'suara-suara' bahawa badan induk itu wajar diterajui oleh individu yang pakar seperti keluarga Sidek susulan kegagalan skuad negara dalam saingan Terbuka Malaysia 2024 yang menutup tirai pada Ahad.
Beliau sebaliknya mahu fokus kepada tanggungjawabnya sebagai 'bos' kepada badan induk tersebut demi kemajuan badminton negara di pentas antarabangsa.
"Saya tak nak komen, sebab benda-benda ini (tukar kepimpinan BAM) tiap-tiap minggu ada. Jadi kalau tiap-tiap minggu komen, letihlah saya nak komen," katanya.
Pemerhati sukan, Zakaria Rahim menerusi Facebooknya membuat hantaran bahawa Presiden Nusa Mahsuri, Datuk Seri Jalani Sidek merupakan orang yang tepat untuk menjadi presiden BAM selain Datuk Misbun Sidek dilantik sebagai pengarah kejurulatihan badan induk badminton negara.
Menurutnya, tidak salah jika adik beradik atau keluarga mengendalikan organisasi nasional jika mereka sememangnya mempunyai rekod yang baik, memang ahlinya dan dihormati serta disegani dalam bidangnya bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.
Mohamad Norza turut meluahkan sebagai presiden beliau memegang jawatan itu secara sukarela tanpa dapat imbuhan.
Malah beliau terbuka bahawa semua pihak boleh memberi sebarang kritikan dan maklum balas, namun tanggungjawab serta amanah yang dipikul tidak semudah yang disangka.
"Cakap semua senang cakap, tapi kerja ini siapa nak buat. Saya kerja sebagai presiden tanpa dapat bayaran, kerja sukarela, khidmat negara. Saya cuma buat yang terbaik demi manfaat badminton Malaysia," katanya.
Mohamad Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sedar bahawa media arus perdana maklum tentang isu BAM yang sering menarik perhatian dalam kalangan pengkritik, penganalisi sukan dan para peminat.
"Jadi semua main stream media tahu apa isu, tahu macam mana kita (BAM). Macam mana kita nak capai objektif yang lebih besar lagi. Kalau kita terpengaruh dengan polimek-polimek ini, kerja kita pun tak jalan," katanya.
Perjalanan para pemain negara pada Terbuka Malaysia hanya bertahan pada peringkat suku akhir setelah beregu utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas kepada pasangan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae 16-21, 21-18, 21-13.
Nasib sama turut menimpa beregu lelaki profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang terkandas setelah tewas kepada pilihan ketujuh, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun 21-15, 21-9 dalam satu lagi aksi suku akhir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!