KPDN keluar notis kepada peniaga ayam goreng kunyit RM20 di Langkawi
ALOR SETAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengeluarkan satu Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) terhadap seorang peniaga makanan yang didakwa menjual ayam goreng kunyit pada harga RM20 sepinggan di premisnya di Pantai Chenang, Langkawi.
Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, notis tersebut dikeluarkan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, pada hari ini dan peniaga terbabit perlu mengemukakan maklumat berhubung penyediaan hidangan makanan itu dalam masa dua hari bekerja.
"KPDN telah mengesan hantaran yang tular di media sosial berkenaan perkara itu yang melibatkan sebuah kedai makan di Jalan Pantai Chenang, Langkawi.
"Siasatan telah dijalankan di premis yang diadu, (pegawai penguatkuasaan) telah berjumpa dengan pemilik premis...pemeriksaan menyeluruh di dalam premis mendapati buku menu disediakan kepada pelanggannya.
"Memang tercatit harga RM20 untuk ayam goreng kunyit...jadi dalam kes ini ada dipaparkan harga,..tapi kita bagi NPMB dulu tengok pengesahan dia, peniaga perlu menunjukkan nilai atau kos dengan harga makanan itu," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Beliau berkata, pengguna perlu sentiasa menyemak harga dan Akta Pelindungan Pengguna 1999 memberikan hak kepada pengguna untuk mendapatkan maklumat berhubung sesuatu barangan termasuk hidangan makanan sebelum membuat pesanan.
Sebelum ini, seorang pelanggan membuat hantaran di Facebook melahirkan rasa tidak puas hati apabila dikenakan caj RM20 untuk sepinggan hidangan ayam goreng kunyit.
Individu terbabit turut memaklumkan,beliau terpaksa membayar RM24 untuk keseluruhan hidangan dipesannya, iaitu sepinggan ayam goreng kunyit (RM20) sepinggan nasi putih berharga RM3 dan air kosong (RM1).
"Patutlah orang luaq (luar) kata Langkawi mahai (mahal), hampa (anda) rasa baloii (berbaloi) kena harga ini? Nasi putih RM3, ayam goreng kunyit seorang makan RM20, air kosong RM1, naya kena RM24," katanya dalam hantaran itu yang tular sejak semalam. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!