RUU Penggal Tetap bukan untuk rakyat, hanya kepentingan diri ahli politik
SHAH ALAM - Cadangan mewujudkan Rang Undang-Undang (RUU) Penggal Tetap oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukanlah matlamat untuk rakyat.
Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Isham Jalil berkata, perkara itu dilihat hanya untuk kepentingan diri segelintir ahli politik dalam kerajaan.
“Saya lihat ia kepentingan diri termasuk Zahid sendiri yang mungkin takut jika kerajaan bertukar, mereka akan hilang kuasa dan jawatan serta mungkin akan kembali didakwa di mahkamah dan masuk penjara dalam masa terdekat.
“RUU ini juga akan menghalang kebebasan wakil-wakil rakyat di Parlimen untuk menukar perdana menteri dan kerajaan di tengah penggal sekiranya mereka gagal mentadbir negara dengan baik atau telah hilang sokongan rakyat atau wakil-wakil rakyat di Parlimen.
“Ini juga boleh menyebabkan keadaan di mana perdana menteri dan kerajaan menjadi leka untuk melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap rakyat serta negara dengan cekap dan amanah; keadaan ini adalah tidak baik untuk rakyat," katanya dalam Facebook pada Isnin.
Beliau berkata, wujudnya RUU itu juga membuka ruang kepada salah guna kuasa seperti terlibat rasuah, tidak membuat kerja dan sebagainya oleh perdana menteri dan kerajaan apabila merasakan kedudukan mereka kekal memegang kuasa sehingga habis penggal.
Tegasnya, Perlembagaan Malaysia membenarkan pertukaran perdana menteri dan kerajaan di tengah penggal jika Perdana Menteri sedia ada tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat pada hemat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“RUU dicadang bukan sahaja mengekang suara rakyat dan wakil-wakil rakyat di Parlimen, tetapi juga mengekang kuasa dan budi bicara Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menukar perdana menteri yang pada hemat Baginda telah hilang sokongan wakil-wakil rakyat di tengah penggal.
“Sekiranya Perdana Menteri dan kerajaan gagal mentadbir dan mengakibatkan kesengsaraan rakyat, adalah memudaratkan jika rakyat dan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong perlu menunggu sehingga habis penggal untuk menukar mereka (perdana menteri dan kerajaan)," ujarnya.
Dalam pada itu, Isham berkata, jika rakyat susah dan tidak makan akibat kegagalan kerajaan, mereka tidak boleh tunggu selama lima tahun.
“Semak imbang kerajaan oleh rakyat dan wakil-wakil rakyat perlu dilakukan secara berterusan dan bukan hanya setiap lima tahun dalam pilihan raya umum.
“Sebab itu peruntukan dalam Perlembagaan selama ini membenarkan pertukaran perdana menteri dan kerajaan di tengah penggal.
“RUU yang digubal di Parlimen perlu dibuat untuk kepentingan rakyat dan bukan untuk menyelamatkan tengkuk segelintir ahli-ahli politik dalam kerajaan," jelasnya.
Pada Sabtu, Ahmad Zahid mencadangkan supaya satu RUU bagi mengekalkan sesebuah kerajaan mentadbir negara sehingga ke akhir penggal dibentangkan di Parlimen.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, ia bagi memastikan peristiwa terdahulu seperti pertukaran perdana menteri sebanyak tiga kali pada penggal Parlimen ke-14 tidak berulang pada masa hadapan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!