Agong, Raja Permaisuri zahirkan ucapan tahniah kepada Raja Frederik X

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini menzahirkan ucapan tahniah kepada Raja Frederik X yang dimasyhurkan sebagai Raja Denmark yang baharu.

Dalam satu hantaran di halaman Instagram Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua berharap agar Malaysia dan Denmark terus menikmati hubungan yang mesra dan erat, diperkukuhkan dengan semangat saling hormat-menghormati serta keinginan bersama untuk meningkatkan hubungan ekonomi selain merapatkan hubungan antara rakyat.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menzahirkan harapan agar hubungan persahabatan sedia ada antara kedua-dua negara akan berkembang dan semakin kukuh di bawah pemerintahan dan kebijaksanaan Raja Frederik X.

Seri Paduka Baginda berdua juga berharap Raja Frederik X dan Permaisuri Mary serta rakyat Denmark semoga berada dalam keadaan sihat dan beroleh kejayaan pada tahun-tahun mendatang.

Putera Mahkota Frederik dimasyhurkan sebagai Raja Denmark yang baharu oleh Perdana Menteri Mette Frederiksen pada Ahad.

Raja Frederik X menggantikan bondanya Ratu Margrethe II yang melepaskan takhta mengakhiri pemerintahan selama 52 tahun baginda, satu tempoh yang paling lama dalam sejarah Denmark. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!