Banjir kilat: Bomba selamatkan dua wanita terperangkap dalam kereta
IPOH - Dua wanita berusia dalam lingkungan 30-an berdepan detik cemas apabila terperangkap di dalam kereta dinaiki mereka ketika banjir kilat berlaku di hadapan sebuah stesen minyak di Simpang Pulai dekat sini, kira-kira jam 7.30 malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 7.46 malam sebelum pasukannya tiba di tempat kejadian jam 8.01 malam.
"Setibanya jentera di lokasi kejadian di dapati sebuah kereta terperangkap di dalam banjir kilat. Terdapat dua mangsa terperangkap di dalam kereta di kawasan Tokong Sam Poh Tong yang berjarak lebih kurang 300 meter dari stesen minyak tersebut,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua mangsa memaklumkan mereka menuju ke Tokong Sam Poh Tong namun dalam perjalanan ke situ, kawasan berkenaan telah digenangi air pada paras lutut. Mereka cuba mengharunginya (banjir) tetapi tidak berjaya.
Beliau berkata, bomba kemudian menolak kereta berkenaan keluar dari kawasan banjir dan kedua-dua mangsa itu berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!