Kos tinggi atau peniaga tamak?

Gambar resit ayam goreng kunyit berharga RM20 yang dimuat naik seorang pengguna di Facebook.
Gambar resit ayam goreng kunyit berharga RM20 yang dimuat naik seorang pengguna di Facebook.
A
A
A

SEJAK kebelakangan ini tular beberapa rungutan orang ramai tentang harga makanan yang mahal terutama di pusat peranginan.

Namun memang sudah jadi lumrah sejak dahulu lagi, harga makanan ‘automatik’ akan menjadi lebih tinggi di tempat-tempat berkenaan.

Lebih terasa mahal apabila lokasi tersebut melibatkan kawasan tanah tinggi dan pulau seperti di Pulau Langkawi, Pulau Pangkor, Cameron Highlands dan banyak lagi lokasi.

Ada dua alasan yang sering digunakan pengusaha iaitu kos untuk membawa bahan mentah tinggi dan mereka hanya mendapat pelanggan ketika waktu tertentu sahaja.

Rata-rata pelancong memang sudah faham dengan situasi tersebut dan bersedia untuk berbelanja lebih kerana sudah ada bajet untuk bercuti.

Bagaimanapun, kita harap peniaga atau pengusaha jangan mengambil kesempatan hingga sanggup mengenakan harga yang tidak masuk akal.

Dua minggu lalu, tular sebuah restoran di Pantai Chenang mengenakan caj RM5 untuk segelas air kosong, namun pemiliknya menafikan perkara tersebut dan menjelaskan ia adalah satu kesilapan. Harga sebenar ialah RM1 sahaja.

Terbaru tular pula satu lagi kes apabila seorang pelanggan tidak puas hati apabila dikenakan caj RM20 untuk hidangan sepinggan ayam goreng kunyit yang juga berlaku di lokasi peranginan yang sama.

Artikel Berkaitan:

Pengadu mendakwa dia juga membayar RM24 untuk keseluruhan hidangan dipesannya, iaitu sepinggan ayam goreng kunyit (RM20) sepinggan nasi putih berharga RM3 dan air kosong (RM1).

Jadi ini menjadi satu persoalan yang besar kepada kita semua adakah kos tinggi yang benar-benar menjadi punca utama harga makanan tersebut mahal atau sebenarnya peniaga yang sengaja mencari peluang untuk meraih untung besar.

Sebagai contoh menarik dibangkitkan oleh salah seorang warganet di akaun X yang membandingkan harga segelas teh hijau popular yang dijual di Thailand hanyalah RM3 sahaja, tetapi di Malaysia, segelas air teh hijau yang sama dijual pada harga RM10.

Jadi kita berharap sudah sampai masanya Kementerian Perdagangan Dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk mencari mekanisme terbaik untuk menghukum peniaga yang tidak beretika.

Selain itu, pengguna juga perlu terus menggunakan kuasa dan hak masing-masing untuk memboikot peniaga terbabit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!