Giliran cabaran Terbuka India uji pemain negara

Aaron (kiri) dan Wooi Yik (kanan) antara pemain yang mengalas cabaran negara di Terbuka India. Foto AFP
Aaron (kiri) dan Wooi Yik (kanan) antara pemain yang mengalas cabaran negara di Terbuka India. Foto AFP
A
A
A

KEJOHANAN badminton Terbuka India yang bermula dari 16 hingga 21 Januari menjadi medan seterusnya buat pemain-pemain negara mengumpul mata kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024.

Kejuaraan Super 750 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Tertutup KD Jadhav, penting untuk pemain negara mengukuhkan kedudukan ranking Road to Paris.

Sebagai rekod, stadium yang mampu menampung kapasiti 6,000 penonton itu mengambil nama sempena ahli gusti negara tersebut, KD Jadhav.

Terdahulu, Terbuka Malaysia Super 1000 di Axiata Arena menjadi aksi pembuka tirai badminton antarabangsa bagi pemain berlumba-lumba untuk menambah mata untuk kelayakan ke Sukan Olimpik 2024.

Di New Delhi, tanpa kelibat Ng Tze Yong yang mengalami kecederaan belakang ketika pusingan pertama, cabaran perseorangan lelaki negara dipacu Lee Zii Jia yang berdepan pesaing dari Kanada, Brian Yang.

Sementara itu, juara Terbuka Malaysia, Anders Antonsen pula akan berdepan pemain Jepun, Takuma Obayashi manakala pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dari Denmark akan menentang lawan dari Taiwan, Wang Tzu Wei.

Pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei yang berstatus nombor 31 dunia akan berdepan pemain nombor 16 dunia, Supanida Katethong (Thailand).

Beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan berdepan Akira Koga-Taichi Saito (Jepun) manakala Goh Sze Fei-Nur Izzuddin pula menanti Nyl Yakura-Dong Adam (Kanada).

Artikel Berkaitan:

Man Wei Chong-Kai Wun Tee pula akan berdepan ujian getir apabila menentang pemain dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.

Juara acara beregu Terbuka Malaysia, Liang Wei Keng-Wang Chang akan berdepan Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan dari Taiwan

Bagi acara beregu wanita pula, Pearly Tan-M Thinaah akan menentang Lee Chia Hsin-Teng Chun Hsun (Taiwan) manakala Vivian Hoo-Lim Chiew Sien berdepan Annie Xu-Kerry Xu (Amerika Syarikat).

Bagi acara beregu campuran, Chan Tang Jie-Toh Ee Wei akan menentang lawan dari Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari, manakala Goh Soon Huat-Shevon Lai menentang pasangan dari Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue.

Sementara itu, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pula berdepan lawan pasangan pilihan dari Jepun Yuta Watanabe-Arisa Higashino.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!