Piala Asia 2023: Iraq dipaksa kerja keras jinak Indonesia
JUARA edisi 2007, Iraq dipaksa bekerja keras sebelum dapat menjinakkan Indonesia, 3-1 dalam perlawanan Kumpulan D Piala Asia 2023 di Stadium Ahmed bin Ali, Rawdat Al Jahhaniya, Qatar.
Iraq kendalian Jesus Casas terlebih dulu mendahului hasil jaringan pemain kelab Al-Shorta SC berusia 23 tahun, Mohanad Ali Kadhim Al-Shammari minit ke-17 selepas mengasak bahagian benteng skuad muda Indonesia.
Pasukan muda Indonesia kendalian Shin Tae-yong menyamakan kedudukan menerusi pemain berusia 19 tahun, Marselino Ferdinan yang beraksi untuk kelab liga Belgium, Koninklijke Maatschappij Sportkring (KMSK) Deinze.
Namun Iraq yang menewaskan Indonesia 5-1 di Basra semasa kelayakan Piala Dunia pada November kembali di depan menerusi pemain kelab liga Portugal, Futebol Clube de Vizela, Osama Jabbar Shafeeq Rashid, 30, pada minit ke-52 untuk memastikan Iraq mendahului 2-1.
Indonesia yang diperkuatkan dengan lapan pemain kesebelasan utama yang dilahirkan abad ini kembali memberikan saingan separuh masa kedua di hadapan 16,532 penonton.
Bagaimanapun Aymen Hussein meledak gol dari jarak dekat 15 minit sebelum tamat perlawanan bagi meneruskan rentak cemerlang untuk tiga mata Iraq.
Sementara itu, Tae-yong menyifatkan Iraq merupakan pasukan yang lebih baik dalam perlawanan tersebut.
Biarpun begitu dia mempersoalkan gol kedua Iraq yang disifatkannya offsaid.
"Ini 100 peratus ofsaid. Kesilapan membuat keputusan daripada pengadil seperti ini akan menurunkan imej Piala Asia," katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!