PM tempelak Tun M anggap masyarakat India, Cina tidak setia
SERDANG - [DIKEMAS KINI] Tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempersoalkan kesetiaan masyarakat India dan Cina di Malaysia didakwa boleh merosakkan negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenyataan tidak bertanggungjawab itu tidak seharusnya dikeluarkan oleh pemimpin nombor satu yang paling lama mentadbir negara.
"Saya anggap kenyataan ini sangat tidak revelan dan kita bantah sekeras-kerasnya.
"Ini pemikiran lapuk yang akan merosakkan negara kita. Saya harap rakyat terutama generasi muda jangan layan pemikiran-pemikiran rosak ini kerana kita tumpu untuk angkat martabat negara kita," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program AI Untuk Rakyat di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini pada Selasa.
Dr Mahathir sebelum ini dilapor mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana mereka masih 'terikat' dengan negara asal mereka.
Pandangan itu disuarakan beliau dalam temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit India, Thanthi TV.
Susulan kenyataan berkenaan, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu dikritik pelbagai pihak termasuk pemimpin kerajaan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pandangan kontroversi yang dibuat bekas perdana menteri yang memimpin negara selama dua kali itu bertujuan untuk mengalih isu kerajaan yang sedang giat membanteras rasuah.
"Dia memang terkenal... Melayu baginya malas melainkan dia, India dan Cina dianggap kurang setia kecuali beberapa kroni dia," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!