Usul undi tidak percaya: PM anggap ia tidak serius

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap merasmikan Artificial Intelligence (AI) Untuk Rakyat di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), pada Selasa. Foto Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap merasmikan Artificial Intelligence (AI) Untuk Rakyat di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

SERDANG - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap dakwaan pembangkang akan membawa usul undi tidak percaya kepadanya di Dewan Rakyat bukan perkara serius.

Ini kerana katanya, tiada asas untuk lawan berbuat demikian terhadap beliau.

"Saya tidak anggap perkara itu (dakwaan pembangkang akan buat usul undi tidak percaya) perkara serius.

"Itu uar-uar pembangkang yang terdesak. Kalau ada asas (tidak mengapa) tapi ini tidak ada asas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program AI Untuk Rakyat di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan pembangkang akan membuat usul undi tidak percaya terhadapnya di Dewan Rakyat.

Kontroversi tersebut mula bertiup kencang susulan tulisan seorang penulis blog yang mendakwa pembangkang telah berjaya memperoleh sekitar 120 akuan berkanun (SD) untuk menjatuhkan pentadbiran kerajaan pimpinan Anwar.

Sinar Harian pada Jumaat lalu melaporkan, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan tiada sebarang usul undi tidak percaya terhadap Anwar diterimanya setakat ini.

Dua hari selepas itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut memaklumkan partinya setakat ini tidak berbincang untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri.

Artikel Berkaitan:

Dewan Rakyat akan bersidang selama 69 hari pada tahun ini, dengan sidang pertama bermula 26 Februari hingga 27 Mac iaitu selama 19 hari.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!