KPDN Perak catat nilai rampasan RM1.9 juta dalam 12 hari

Kamalludin (kanan) menggunting barang rampasan sempena Program Pelupusan Ekshibit Perdana di Stor Penyimpanan Ekshibit KPDN Perak, Kawasan Perusahaan IGB di sini pada Selasa.
Kamalludin (kanan) menggunting barang rampasan sempena Program Pelupusan Ekshibit Perdana di Stor Penyimpanan Ekshibit KPDN Perak, Kawasan Perusahaan IGB di sini pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menjalankan penguatkuasaan lebih agresif tahun ini apabila dalam masa 12 hari berjaya menghasilkan 34 kes dengan nilai rampasan keseluruhan hampir RM1.9 juta.

Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kesemua kes berkenaan dihasilkan sejak 1 hingga 12 Januari lalu melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 termasuk rampasan barang kawalan diesel dan Gas Petroleum Cecair (LPG).

Jelas beliau, tindakan tersebut merupakan sebahagian daripada Ops Tiris 3.0 susulan kejayaan Ops Tiris 1.0 dan 2.0 tahun lalu bagi menangani ketirisan serta penyelewengan subsidi lanjutan pengumuman pihak kerajaan tentang pelaksanaan penyasaran semula subsidi barang kawalan.

"Melalui Ops Tiris, sepanjang tahun 2023, KPDN Perak telah melaksanakan sebanyak 783 pemeriksaan dengan jumlah kes dihasilkan sebanyak 56 kes melibatkan rampasan minyak diesel berjumlah 275,406 liter dengan nilai rampasan keseluruhan termasuk kenderaan dan peralatan lain adalah berjumlah lebih RM5.58 juta.

"90 peratus daripada jumlah keseluruhan nilai rampasan kes tahun 2023 iaitu RM6.21 juta adalah melalui tindakan Ops Tiris," katanya kepada pemberita sempena Program Pelupusan Ekshibit Perdana di Stor Penyimpanan Ekshibit KPDN Perak, Kawasan Perusahaan IGB di sini pada Selasa.

Kamalludin (kanan) memotong besi tangki simpanan minyak diesel sebagai gimik sempena Program Pelupusan Ekshibit Perdana di Stor Penyimpanan Ekshibit KPDN Perak, Kawasan Perusahaan IGB di sini pada Selasa.
Kamalludin (kanan) memotong besi tangki simpanan minyak diesel sebagai gimik sempena Program Pelupusan Ekshibit Perdana di Stor Penyimpanan Ekshibit KPDN Perak, Kawasan Perusahaan IGB di sini pada Selasa.

Sementara itu, Kamalludin berkata, KPDN turut melupuskan barangan rampasan kes yang dihasilkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Cap Dagang 2019 pada tahun 2023.

Katanya, jumlah nilai pelupusan terkumpul sejak Januari hingga 31 Disember 2023 sebanyak RM1.5 juta iaitu peningkatan sebanyak 29.6 peratus berbanding tahun 2022 iaitu sebanyak RM1.16 juta.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, jumlah nilai rampasan tahun 2023 turut meningkat sebanyak 203 peratus selain nilai kompaun juga meningkat sebanyak 58 peratus berbanding tahun 2022.

"Barangan yang dilupuskan hari ini juga adalah antara kejayaan hasil tindakan operasi melalui OPS TIRIS iaitu Operasi membanteras penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan minyak diesel bersubsidi di seluruh negeri Perak.

"Pelupusan tersebut melibatkan barangan seperti pam minyak, hos, tangki IBC, kenderaan, makanan, biskut, pelekat jenama dan kasut sukan berjenama cap dagang yang dipakaikan dengan salah. Nilai pelupusan barang kes tersebut berjumlah RM594,817," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!