DAP setuju cadangan RUU penggal tetap Parlimen
SEBERANG JAYA - DAP bersetuju dengan cadangan untuk mewujudkan Akta Parlimen Berpenggal di negara ini.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia kerana, saranan tersebut adalah baik untuk mengurangkan masalah atau isu politik yang timbul dalam tempoh satu penggal Parlimen.
Menurutnya, bagaimanapun, pelaksanaan RUU tersebut perlu diperhalusi sebelum ia diluluskan.
"RUU penggal tetap Parlimen ini memang kita bersetuju bahawa dari segi prinsipnya adalah baik kerana ia mengurangkan masalah atau isu-isu politik dalam tempoh Parlimen itu.
"Namun begitu, dari segi pelaksanaannya perlu lah dilihat dengan lebih teliti," katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa.
Anthony sebelum itu menghadiri majlis menandatangani memorandum antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dengan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) bagi pembangunan di atas sebahagian Lot 286, 65 dan 67 Bandar Perai.
Turut hadir, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Tambah beliau, RUU penggal tetap Parlimen pernah dilaksanakan di United Kingdom yang mana, dalam tempoh lima tahun ini, ia tidak boleh dibubarkan sewenang-wenangnya oleh Perdana Menteri sebaliknya perlu dibawa ke Dewan Negara.
"Jika ada apa-apa keputusan untuk membubarkan Parlimen, ia perlu dibawa ke Dewan untuk diputuskan oleh ahli-ahli Parlimen.
"Bagaimnaapun, perkara ini masih dalam peringkat kajian. Saya yakin, pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said akan mmbawa cadangan itu ke Kabinet," katanya.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyarankan satu RUU penggal tetap Parlimen perlu diwujudkan agar pembentukan sesebuah kerajaan kekal sehingga akhir penggal atau sebelum PRU seterusnya diadakan.
Ahmad Zahid berkata, langkah itu juga dapat menjamin kestabilan negara memandangkan kerajaan tidak diganggu oleh percaturan ahli politik demi kepentingan dan agenda masing-masing.
Penetapan penggal Parlimen bermaksud tarikh pembubaran Parlimen ditetapkan undang-undang di mana Dewan Rakyat tidak boleh dibubarkan sebelum tarikh ditetapkan undang-undang.
Sebelum itu, Duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pernah mencadangkan Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi memastikan tempoh lima tahun antara pilihan raya umum, sekali gus mewujudkan tempoh tetap bagi Parlimen.
Dalam perkembangan lain, Anthony yang juga Menteri Pengangkutan menyifatkan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kaum India tidak setia kepada negara sebagai satu kenyataan mendukacitakan.
Menurutnya, kenyataan itu juga dilihat telah menyinggung perasaan semua kaum di negara ini khususnya kaum India.
"Kenyataan itu amat mendukacitakan kerana semua pihak yang cintakan negara tidak setuju dan langsung tidak menyokong kenyataan beliau itu. Ini kerana, ia satu kenyataan yang menyakitkan hati khususnya kaum India.
"Tidak sepatutnya seorang pemimpin dan bekas negarawan untuk mempersoalkan kesetiaan mana-mana kaum kepada negara.
"Saya amat kesal dengan sikap Tun kerana ketika beliau menjadi Perdana Menteri keempat dahulu, beliau pernah membawa satu visi yang bagi saya adalah sangat baik untuk menyatupadukan rakyat Malaysia iaitu Wawasan 2020," katanya.
Sebelum ini, Tun Mahathir mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana mereka masih 'terikat' dengan negara asal mereka.
Mahathir berkata, seseorang itu harus dikenali sebagai orang Melayu untuk berhak bagi menganggap Malaysia sebagai negara sendiri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!