Langgar kereta peronda, pembantu katering kena jel, denda RM2,000
REMBAU - Seorang pembantu katering dijatuhi hukuman enam bulan penjara dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini pada Selasa selepas mengaku salah menghalang tugas penjawat awam.
Majistret Kartini Kasran menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh, Ismail Abd Rahman, 26, dari Tanjong Kling, Melaka selepas membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan.
Mahkamah turut menetapkan tertuduh dikenakan enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati menghalang penjawat awam iaitu dua anggota polis dengan melanggar kenderaan yang dipandu dan dinaiki mereka.
Dia melakukan perbuatan itu pada jam lebih kurang 11.30 pagi 7 Januari lalu di hadapan Masjid Penajis, Kampung Relong, Kota di daerah ini.
Oleh demikian dia didapati melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan penjara hingga boleh sampai dua tahun atau dengan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Roslaili Alias.
Mengikut fakta kes, anggota polis yang menjalankan tugas rondaan cuba menahan kereta jenis Proton Wira dipandu tertuduh untuk tujuan pemeriksaan, namun tertuduh terus memecut laju ke arah Kampung Relong sebelum berhenti selepas mendapati jalan berkenaan adalah jalan mati.
Selepas berpatah balik, kereta dipandu tertuduh berhadapan dengan kereta peronda polis berkenaan sebelum tertuduh diminta keluar dari kereta bagi tujuan pemeriksaan.
Tertuduh yang enggan memberhentikan keretanya itu terus meluru dan merempuh sebelah kiri bahagian hadapan kereta peronda polis berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!