Kerajaan lancar program AI Untuk Rakyat bagi perkasa literasi digital, pemahaman AI

Rafizi berucap pada majlis perasmian Artificial Intelligence (AI) Untuk Rakyat di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM). Foto Bernama
Rafizi berucap pada majlis perasmian Artificial Intelligence (AI) Untuk Rakyat di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM). Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memperkenalkan program Kecerdasan Buatan (AI) Untuk Rakyat yang berkeupayaan merapatkan lagi jurang literasi digital dan pemahaman AI dalam kalangan rakyat.

Program tersebut melalui kerjasama dengan Intel Malaysia dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Universiti Putra Malaysia, hari ini.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, AI Untuk Rakyat adalah satu lagi inisiatif kerajaan yang menyediakan pemahaman asas mengenai teknologi AI bagi membuka peluang memperdalam pengetahuan teknologi dalam dunia digital.

"Bagi golongan pelajar, program ini dapat memberikan gambaran asas tentang dunia AI yang bertujuan untuk menarik minat mereka menceburi dan seterusnya membina kerjaya dalam sektor ini.

"Bagi golongan lain pula, program ini dapat memberikan fahaman asas tentang AI agar kita lebih faham yang ia adalah sebuah teknologi yang boleh membawa manfaat yang besar kepada kita sebagai individu," katanya pada majlis pelancaran tersebut.

Beliau berkata, dengan memanfaatkan peluang itu, Malaysia mampu membina ekonomi digital yang kalis masa hadapan dan membolehkan negara menjana nilai yang lebih tinggi di persada dunia.

Sementara itu, Pengarah Urusan Intel Malaysia, AK Chong berkata, AI bukan hanya keajaiban teknologi tetapi juga pemacu kritikal bagi sesebuah ekonomi.

"Bayangkan AI sebagai sebuah jambatan, menghubungkan setiap individu kepada dunia yang penuh dengan peluang, tanpa mengira latar belakang atau keadaan. Inilah fokus program iaitu untuk memperkasakan rakyat Malaysia dengan pengetahuan, kemahiran dan peralatan yang diperlukan bagi mencapai kejayaan dalam era digital.

Artikel Berkaitan:

"Saya menjemput anda semua untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan ini bagi membawa AI ke setiap penjuru," katanya pada majlis tersebut.

AI Untuk Rakyat merupakan sebuah program pembelajaran kendiri dalam talian yang direka untuk meningkatkan pemahaman dan kesedaran orang ramai tentang AI.

Ia boleh dicapai oleh semua di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja. Pengalaman pembelajaran yang menarik dan interaktif disediakan melalui dua bahagian iaitu AI Aware dan AI Appreciate.

AI Aware bertujuan bagi memperkenalkan dan membincangkan kes-kes penggunaan AI serta memperjelas kekeliruan umum mengenai AI.

Manakala AI Appreciate mengupas lebih lanjut tentang aplikasi dan impak AI merentas industri serta menyasarkan mereka yang ingin meningkatkan pengetahuan tentang AI.

Program ini boleh dicapai melalui portal www.ai.gov.my dan menyasarkan satu juta peserta pada tahun ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!