RAC tandatangan MoU dengan LPNPP majukan Kampung Manis
SEBERANG JAYA - Satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dengan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) untuk menjadikan Kampung Manis di Perai sebagai kawasan yang moden dan membangun.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Kampung Manis berkeluasan 14.9 hektar itu terletak di atas tanah kereta api hak milik RAC.
Menurutnya, potensi kampung tersebut telah diketengahkan melalui Pameran Hartanah RAC 2023 yang diadakan pada 24 Ogos 2023.
"Selain Kampung Manis, tanah kereta api di Bukit Tengah, yang mana turut dipamerkan pada program tersebut juga menerima cadangan pembangunan secara Request for Proposal (RFP).
"Melalui memorandum persefahaman ini, LPNPP sebagai agensi kerajaan negeri berperanan dalam hal ehwal perumahan untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana adalah penting sebagai pihak yang akan membantu RAC dalam penyusunan semula setinggan-setinggan di Kampung Manis bagi memastikan tiada penduduk tercicir," katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa.
Anthony sebelum itu menghadiri majlis menandatangani memorandum antara RAC dengan LPNPP bagi pembangunan di atas sebahagian Lot 286, 65 dan 67 Bandar Perai.
Turut hadir, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Tambah Anthony, langkah membangunkan tanah tersebut penting bagi memastikan RAC dapat menjana pendapatan berterusan dalam tempoh jangka masa panjang dan menyalurkannya semula kepada pembangunan serta penyelenggaraan industri pengangkutan rel di negara ini.
"Berdasarkan Rancangan Tempatan Seberang Perai 2030, zon guna tanah bagi ketiga-tiga lot ini telah digazetkan sebagai industri dan pengangkutan serta komersial yang amat sesuai untuk dibangunkan.
"Dengan adanya pembangunan di kawasan tersebut, ia dapat menyokong hala tuju dan fokus utama Kementerian Pengangkutan pada 2024 yang berhasrat
untuk memperkasa jaringan ketersambungan dan kebolehcapaian sistem pengangkutan awam dan logistik," katanya.
Tambah beliau, konsep pembangunan yang bakal dilaksanakan itu sudah pastinya akan mengambil kira keperluan mewujudkan komponen perumahan.
"Dalam aspek ini, perumahan mampu milik harus diberi penekanan. Komponen ini perlu dititikberatkan bagi menyokong usaha kerajaan meningkatkan kualiti hidup dan ketercapaian untuk rakyat.
"Walaupun mod pengangkutan di Kampung Manis ini tidak dihubungkan terus dengan jajaran kereta api, namun pembangunan kawasan ini boleh menggalakkan permintaan pengangkutan awam dan mendorong jaringan perantaraan yang lebih baik bagi menghubungkan stesen kereta api terdekat iaitu Stesen Butterworth yang jaraknya kira-kira lima kilometer," katanya.
Ujar Anthony lagi, pembangunan Kampung Manis akan turut melibatkan sektor swasta.
"Kita juga telah melaksanakan permohonan cadangan dan menyemak cadangan yang kita terima. Keputusan muktamad akan dibuat tidak lama lagi.
“Adalah menjadi harapan saya Kampung Manis akan menjadi pembangunan moden dalam beberapa tahun akan datang dan mercu tanda di Butterworth,” tambahnya.
Sementara itu, Kon Yeow berkata, pembangunan menyeluruh diperlukan di Kampung Manis kerana ia merupakan lokasi kediaman yang tidak terancang, tidak mempunyai sistem perparitan yang sistematik sehingga menyebabkan masalah banjir.
Beliau berkata, dengan itu, pembangunan keseluruhan kedua-dua projek RAC dan LPNPP di kawasan itu mampu mengubah wajah penempatan sedia ada kepada pembangunan perumahan yang lebih teratur dan cekap demi kesejahteraan masyarakat setempat.
“Selain itu, projek ini juga dapat memacu pertumbuhan ekonomi dengan ruang komersial yang boleh menjana pendapatan dan peluang pekerjaan selain menyediakan pembangunan lebih terancang dengan laluan trafik yang lebih lancar,” katanya.
Sebelum ini, lebih 200 keluarga di Kampung Manis dikatakan bakal diusir selepas mereka menerima notis mengosongkan tanah daripada RAC.
Mereka mendakwa menerima notis itu tanpa sebarang perbincangan dilakukan sebelum ini dan hanya diberikan tempoh selama enam bulan untuk mengosongkan rumah atau berdepan dengan tindakan undang-undang.
Rata-rata mereka kecewa apabila pihak RAC hanya mahu mengusir mereka keluar dari rumah yang telah dihuni hampir empat generasi tanpa memberi sebarang pampasan ataupun rumah ganti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!